SISFEC | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR

» SISFEC

SISFEC

HUTAN SIMPAN AYER HITAM (HSAH)

Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong ataupun juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) merupakan Hutan Simpanan Kekal yang dianugerahkan kepada UPM melalui perjanjian jangka panjang. 

Hutan yang berkeluasan 1182.07 Hektar ini di letakkan dibawah tanggungjawab UPM untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan PENDIDIKANPENYELIDIKAN dan PENGEMBANGAN di dalam bidang perhutanan. 

Dalam melahirkan pelajar yang berwibawa dan lengkap dengan ilmu perhutanan, latihan berbentuk amali dilapangan amatlah diperlukan.  Dengan adanya SISFEC, Fakulti Perhutanan dapat merancang, merangka dan menyusun pelbagai aktiviti di lapangan dengan lebih berkesan, tetap dan teratur. 

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa dijalankan meliputi amali lapangan seperti Survei Hutan, Interpretasi Persekitaran dan Hidupan Liar, Entomologi dan Patologi Hutan, Dendrologi, Fisiologi, Ekologi, Silvikultur, Pembaikbiak Pokok, Sukatan Hutan, Perancangan Pengurusan Hutan, Perhutanan Tani, Pengurusan Kawasan Legeh, Pengurusan Tanah Rekreasi dan Hidrologi Hutan. 

HSAH merupakan hutan hujan tropika yang mempunyai ekosistem yang unik dan kompleks. Banyak maklumat yang belum diperolehi mengenai kandungan flora dan fauna, kepelbagaian biologi serta kesan aktiviti manusia ke atas ekosistem hutan. 

Justeru, banyak kajian sentiasa dilaksanakan sepanjang tahun di hutan ini terutamanya yang berkaitan Flora, Fauna, Kesihatan Ekosistem Hutan, Pengurusan Hutan, Produk Semulajadi dan Rekreasi. Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan hutan dalam pemuliharaan alam sekitar, pelbagai aktiviti pemindahan ilmu kepada masyarakat dilaksanakan antaranya program penanaman pokok, penerbitan risalah, mengadakan pameran kesedaran alam sekitar dan lain-lain.

Melalui aktiviti-aktiviti tersebut secara tidak langsung akan memberikan kesedaran terhadap masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam semulajadi.

 

SXDTNAX~