Jabatan Industri Kayu dan Gentian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar telah menganjurkan Program “World Wood Day 2026” - WWD 2026 pada 21 Mei 2026 bertemakan “Sustainable Wood, Circular Future” bertempat di Dewan Kuliah Hutan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kayu sebagai sumber lestari serta memperkukuh pemahaman terhadap amalan ekonomi kitaran dan pengurusan sisa.
Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sesi webinar, perkongsian ilmu oleh pakar industri dan akademia, serta aktiviti berasaskan amali yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai inovasi dan penggunaan kayu secara mampan.
Antara pengisian program ialah ceramah berkaitan industri perkayuan, kelestarian sumber hutan, teknologi bahan kayu inovatif dan perkongsian amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Program ini turut diserikan dengan bengkel DIY produk kayu, demonstrasi teknologi kayu, pameran industri dan aktiviti berkaitan ekonomi kitaran.
Penganjuran WWD 2026 melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Malaysian Timber Council (MTC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), Persatuan Pengusaha Kayu-kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dan Founder WoodKare (M) Sdn. Bhd. Program ini berjaya menghimpunkan pelajar, staf universiti, pihak industri, agensi serta komuniti dalam usaha memperkukuh kesedaran dan penglibatan terhadap pembangunan sektor perkayuan yang mampan.




Tarikh Input: 10/06/2026 | Kemaskini: 10/06/2026 | norazian_nga

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Malaysia