Jabatan Industri Kayu dan Gentian dan SISFEC, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar telah dijemput untuk menyertai pameran sempena Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 16 Jun 2026 di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia.
Penyertaan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan kepakaran serta mempromosikan bidang perhutanan, alam sekitar dan bahan lestari kepada warga universiti serta para pengunjung. Ruang pameran turut mengetengahkan konsep “EcoSynergy: Forestry, Environment and Sustainable Materials”, yang menekankan hubungan saling berkait antara pengurusan sumber hutan, pemeliharaan alam sekitar dan penggunaan bahan lestari bagi menjamin masa depan yang lebih mampan.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai program akademik yang ditawarkan oleh fakulti, aktiviti penyelidikan, inovasi berkaitan sumber berasaskan kayu dan gentian, serta pelbagai inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh fakulti. Kehadiran ahli akademik, staf dan pelajar turut memeriahkan pameran melalui sesi perkongsian ilmu dan interaksi bersama pengunjung.
Penyertaan dalam pameran ini mencerminkan komitmen Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dalam menyokong agenda kelestarian universiti serta memperkukuhkan hubungan antara akademia, pelajar dan masyarakat melalui penyebaran ilmu dan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sumber semula jadi yang lestari.
Tarikh Input: 18/06/2026 | Kemaskini: 18/06/2026 | norazian_nga

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Malaysia