YOGYAKARTA – Seramai 31 pelajar bersama 4 pensyarah dan staf daripada program Bacelor Sains Taman dan Rekreasi Dengan Kepujian,Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), telah mengadakan lawatan akademik selama lapan hari ke Yogyakarta. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada kursus Warisan dan Pelancongan bagi mendalami tapak-tapak warisan budaya di Daerah Istimewa Yogyakarta.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan Sekolah Tinggi Pariwisata Ambarrukmo (STIPRAM) sebagai realisasi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Januari 2026 di Selangor. Sepanjang berada di Yogyakarta, delegasi melawat beberapa destinasi bersejarah seperti Candi Borobudur, Candi Prambanan, Keraton Yogyakarta serta kawasan Gunung Merapi.
Ketua Delegasi sekaligus Dekan FHAS, UPM, Prof. Dr. Azlizam bin Aziz, menjelaskan bahawa lawatan ini bertujuan untuk mempererat kerjasama antara UPM dan Sekolah Tinggi Pelancongan Ambarrukmo (STIPRAM) Yogyakarta, sekaligus meninjau secara langsung pelbagai tapak warisan di kawasan tersebut. “Fokus utama kami adalah mempelajari warisan budaya dan pelancongan di Yogyakarta,” ujarnya.
Delegasi turut mengadakan seminar bersama mahasiswa STIPRAM bertemakan “Into the Ruins and Its Memories: Heritage Tourism in Action in Indonesia”, selain pertukaran budaya dan sesi kuliah umum. Program ini memberi pendedahan mendalam tentang pelancongan berasaskan warisan dan alam sekitar, di samping mengukuhkan jaringan antarabangsa antara kedua-dua institusi.
Sepanjang berada di Yogyakarta, pelajar UPM mengikuti seminar bersama sehari dengan pelajar STIPRAM bertemakan “Into the Ruins and Its Memories: Heritage Tourism in Action in Indonesia.” Enam bahan dibentangkan dan dibincangkan, diikuti kuliah umum oleh Prof. Dr. Azlizam Aziz. Seminar ditutup dengan persembahan budaya dari Malaysia dan Indonesia serta penyerahan sijil kepada semua peserta.
Kedua-dua pihak berharap kerjasama ini dapat diteruskan melalui penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan pelaksanaan program akademik antarabangsa pada masa hadapan.
Tarikh Input: 19/02/2026 |
Kemaskini: 19/02/2026 | masridien
PERKONGSIAN MEDIA