12 Dis - Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua alumni dan hadirin yang telah bersama-sama memeriahkan Majlis Hi-Tea Alumni Fakulti Perhutanan pada 12 Disember 2025, bertempat di Kompleks A, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM.
Majlis ini bertambah bermakna dengan perasmian oleh YBhg. Dato’ Hj. Zahari bin Ibrahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia merangkap Alumni Fakulti Perhutanan UPM, serta perkongsian inspirasi oleh YBhg. Dato’ Fakhrul Hatta bin Musa, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) PERHILITAN selaku Wakil Alumni 2025.
Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UPM dan SFC sebagai simbol kerjasama strategik yang berterusan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Prof. Dr. Arrifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM merangkap Alumni Fakulti Perhutanan; YBhg. Tuan Abang Arabi Abang Aimran, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC); barisan pengurusan fakulti; wakil-wakil SFC; serta warga alumni dan warga Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar. Di majlis tersebut jua Fakulti telah melantik YBhg. Dato’ Hj. Zahari bin Ibrahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (CEO@FHAS) bagi sesi 2025-2026.
Dalam meraikan 50 tahun penubuhan fakulti, majlis julung kali ini menyaksikan kehadiran hampir 200 tetamu, termasuk 147 alumni sejak kumpulan pertama tahun 1977 — satu detik yang amat membanggakan dan menyentuh hati.
Rakaman setinggi-tinggi terima kasih juga ditujukan kepada semua penaja, penyumbang serta para dermawan. Tidak dilupakan, penghargaan kepada seluruh AJK serta warga fakulti yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
Semoga ikatan ini terus mekar dan kerjasama ini berpanjangan.
Mengakar di bumi, menyemai budi — 50 tahun ikatan yang abadi.
Tarikh Input: 15/12/2025 |
Kemaskini: 17/12/2025 | masridien
PERKONGSIAN MEDIA