HARI WARGA FHAS 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» BERITA » HARI WARGA FHAS 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN

HARI WARGA FHAS 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN

22 September 2025 – Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Hari Warga FHAS bertempat di Dewan Kuliah Hutan (DKH), FHAS. Program ini menghimpunkan seluruh warga fakulti merangkumi staf akademik, staf bukan akademik, serta pihak pengurusan tertinggi dengan tujuan memperkukuh interaksi menyeluruh dan menyemai semangat kebersamaan.

Acara ini memberi penekanan kepada beberapa ruang lingkup utama bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan mencapai objektif. Antara intipati penting yang diketengahkan ialah sesi perbincangan isu-isu berkaitan fakulti meliputi hala tuju, perkongsian pencapaian semasa dan perancangan masa depan. Pendekatan ini memastikan semua staf menerima maklumat tepat serta terkini, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjayakan misi fakulti.

 

Selain itu, aktiviti apresiasi dan santai turut diadakan termasuk memperkenalkan staf baharu serta penyampaian hadiah kepada para pemenang Inter PTJ Kibar Jalur Gemilang peringkat fakulti. Tidak ketinggalan, majlis persaraan Profesor Dr. Jegatheswaran a/l Ratnasingam dan penanaman pokok sebagai simbolik turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan dedikasi beliau.

Penganjuran Hari Warga FHAS 2025 menjadi platform integrasi warga fakulti dalam suasana harmoni dan mesra, sekali gus memperkukuh nilai kebersamaan, motivasi serta semangat kerja berpasukan demi kecemerlangan bersama.

 

Tarikh Input: 22/09/2025 | Kemaskini: 22/09/2025 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
W, (02:00:26pm-02:05:26pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]