Sektor Ekopelancongan Membantu Aktiviti Penyimpanan Karbon Hutan | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Sektor Ekopelancongan Membantu Aktiviti Penyimpanan Karbon Hutan

Sektor Ekopelancongan Membantu Aktiviti Penyimpanan Karbon Hutan

Pelancongan yang mesra alam semulajadi telah mula mendapat tempat di kalangan pelancong sekitar tahun 70an. Namun hanya pada tahun 1983 perkataan ekopelancongan mula diperkenalkan oleh Hector Ceballos-Lascurain. Sejak daripada itu sektor ini berkembang begitu pesat dan menjadi salah satu cabang industri pelancongan yang popular di kalangan para pelancong. Ini kerana aktiviti ekopelancongan berkait rapat dengan alam semulajadi dan menggalakkan para pelancong untuk menjaga alam sekitar sambil melancong. Berbanding dengan sektor lain yang terdapat di dalam industri pelancongan, sektor ekopelancongan berupaya membantu aktiviti peyimpanan karbon hutan dengan lebih signifikan. Sebagai contoh, aktiviti ekopelancongan amat menggalakkan para pelancong untuk mengitar semula sampah yang mereka hasilkan dan membawa pulang sampah keluar daripada kawasan ekopelancongan. Kebiasaannya kawasan ekopelancongan yang mendapat permintaan yang tinggi adalah di dalam hutan atau kawasan berhampiran. Oleh itu, aktiviti mengitar semula sampah dan membawa keluar sampah yang dihasilkan oleh pelancong dapat membantu aktiviti penyimpanan karbon hutan.

Selain daripada itu, aktiviti dan program ekopelancongan juga sering melibatkan penanaman pokok dan pembersihan sampah sarap di pelbagai kawasan termasuk hutan. Aktiviti penanaman pokok berupaya menambah bilangan pokok yang membawa banyak manafaat kepada alam semulajadi. Satu pokok dewasa dapat menghasilkan oksigen untuk kegunaan empat orang manusia dan juga kehidupan lain di atas muka bumi ini. Di samping itu pokok juga akan menyerap karbon dioksida di sekeliling kita. Manakala pembersihan sampah sarap juga berupaya membersihkan alam sekitar daripada sebarang wabak penyakit serta menggalakkan pertumbuhan pokok di sesebuah kawasan. Oleh itu, kawasan ekopelancongan perlu menekankan aktiviti dan program penjagaan alam sekitar dan hutan kepada pengunjung mereka. Pengusaha produk ekopelancongan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pengunjung supaya mereka juga akan turut menyumbang kepada penjagaan hutan dan alam sekitar untuk kepentingan bersama.

Dewasa ini, telah menjadi tren apabila semakin banyak hotel yang mengamalkan aktiviti mesra alam semulajadi. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga telah memperkenalkan sijil “hotel hijau” atau green hotel kepada pengusaha hotel dan penginapan yang memenuhi syarat menggamalkan pelbagai aktiviti dan program menjaga alam semulajadi seperti: mengitar semula sampah mengikut klasifikasi yang telah ditetapkan, menanam sampah sarap yang mudah terurai seperti sisa makanan dan tanaman serta menggunakan tuala mandi sepanjang pelancong menginap di hotel mereka. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung telah membantu pembaziran penggunaan pelbagai tenaga dan alam sekitar. Dengan secara langsung perbuatan ini turut membantu memulihara kawasan hutan terutama sekali sekiranya hotel tersebut dibina di dalam atau berdekatan dengan Kawasan hutan. Pembangunan hotel hijau juga menggunakan pendekatan pembinaan lestari dengan tidak menebang pokok dengan sewenang-wenangnya dan menggunakan air tadahan hujan untuk tujuan penyiraman pokok dan penggunaan lain yang bersesuaian.

Beberapa kajian penyelidikan mendapati pelancong ekopelancongan sangat gemar berkunjung ke kawasan hutan dan berkait rapat dengan alam semulajadi seperti: bukit, laut dan gunung. Oleh itu, adalah penting untuk mendidik kumpulan pelancongan ini untuk turut membantu memulihara alam sekitar khususnya pokok dan kehidupan di hutan. Konsep ekopelancongan ketika melawat sesuatu kawasan seperti: jangan ambil apa-apa kecuali gambar/memori, apa yang di bawa masuk perlu di bawa keluar dan had daya tampung amat perlu diberikan penekanan kepada para pelancong ekopelancongan. Ini kerana kawasan yang mereka kunjungi adalah senstif dan perlukan penjagaan yang amat rapi. Pengusaha pelancongan yang membabitkan kawasan ekopelancongan juga perlu tegas dan serius di dalam penjagaan alam sekitar terutama sekali sekiranya kawasan mereka berada di dalam atau berdekatan dengan hutan. Aktiviti dan program yang selari dengan penjagaan alam semulajadi perlu diadakan dan dipromosikan sentiasa di kawasan ekopelancongan. Amalan seperti: membuat baja organik daripada sisa makanan terbuang dan penggunaan lampu dan kipas angin solar dapat mendidik dan memberikan impak positif kepada para pengunjung. Hasilnya kini sudah ramai pengguna yang menggunakan tenaga solar dan mengitar semula sisa makanan di rumah mereka. Segala amalan ini dapat membantu untuk memelihara hutan dan menyuburkan pokok-pokok yang terdapat di hutan dan sekeliling kita.

Tidak dapat dinafikan lagi, sektor ekopelancongan dapat membantu aktiviti penyimpanan karbon hutan dengan amalan baik yang diterapkan di dalam aktiviti dan programnnya. Sektor ini berjaya menghasilkan pelancong dan pengguna yang bertanggung jawab terhadap alam sekitar terutama sekali hutan dan aktiviti penyimpanan karbon hutan.



Tarikh Input: 12/07/2023 | Kemaskini: 12/07/2023 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEdDAk~