Penceroboh Hutan Simpan Ayer Hitam Ganggu Penyelidikan Kami – SISFEC | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Penceroboh Hutan Simpan Ayer Hitam ganggu penyelidikan kami – SISFEC

Penceroboh Hutan Simpan Ayer Hitam ganggu penyelidikan kami – SISFEC

316218277_10222242158624869_5119339445230068841_n-e1712738787679-681x651


PUCHONG – Pencerobohan Hutan Simpan Ayer Hitam terutamanya di kawasan dikenali Blue Lagoon oleh pihak tidak bertanggungjawab banyak membawa mudarat.

Ia menganggu kerja penyelidikan Sultan Idris Shah Forestry Education Centre (SISFEC).

Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr berkata, pihaknya mendapati kajian konvervasi hutan oleh para pelajar untuk tujuan inventori musnah akibat pencerobohan tersebut.

MGF19032024_SISFEC-101-1024x683
Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Prof Dr Azlizam Aziz 


Mana tidaknya, kajian yang dijalankan berbulan-bulan musnah begitu sahaja oleh kerakusan ‘tangan-tangan’ penceroboh di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Bila pelajar buat latihan amali di dalam hutan dan terserempak dengan penceroboh, mereka boleh tanya pelajar itu siapa. Kalau pengurusan hutan ada pelbagai jenis malah hidupan liar pun kita terlibat untuk kajian.

“Kerosakan yang berlaku disebabkan kehadiran penceroboh pun kita gunakan untuk tujuan ujikaji tapi ini dalam konteks yang amat tidak bagus.

“Malah pelajar juga buat kerja-kerja pembaikan terhadap kesan-kesan pencerobohan itu, denai yang rosak kita buat pemulihan.

“Ada kawasan yang diterangkan oleh penceroboh bertujuan untuk tujuan santai di mana semua ini menyebabkan kemusnahan pokok dan mengganggu kajian pelajar,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Malah Azlizam berkata, ketika sesi tembual ini dibuat, terdapat beberapa individu yang dikesan cuba untuk memasuki kawasan kajian pelajar-pelajar SISFEC.

“Ketika bercakap sekarang pun ada pencerobohan oleh individu tidak bertanggungjawab, kalau kita naikkan dron buat pemantauan udara memang akan ada orang tengah menggunakan hutan kita secara haram.

“Terutamanya untuk piknik, santai dan memanjat bukit lebih lagi pada hujung minggu dan cuti awam, kawasan ini sentiasa ada pengunjung tidak rasmi. Kita tidak mampu untuk menjaga kawasan ini kerana ia sangat besar,” akuinya.

Azlizam merujuk kepada pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab yang sering berlaku di Hutan Simpan Ayer Hitam terutamanya di Blue Lagoon.

Pada Februari lalu, segelintir orang awam yang tidak mematuhi peraturan bertindak menceroboh kawasan tersebut sehingga merosakkan plot kawasan kajian pelajar dan penyelidik termasuk merosakkan papan tanda larangan masuk.

Ketika itu, tular di media sosial apabila semakin ramai pengunjung yang datang ke Blue Lagoon walaupun ia merupakan kawasan larangan dan memuatnaik di akaun media sosial masing-masing.

MGF19032024_SISFEC-97-1024x683
Pemelihara hutan, Mohd Farhan Shahrin bercakap kepada media ketika di Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC), Puchong


Dalam pada itu, pemelihara hutan tersebut, Mohd Farhan Shahrin mendedahkan pihaknya mendapati kebanyakan penceroboh akan menggunakan cuti hujung minggu dan kelepasan cuti am untuk memasuki Blue Lagoon.

Disebabkan pencerobohan itu, kawasan itu didapat tercemar dengan sampah sarap yang boleh mengganggu kajian ekologi pusat berkenaan.

“Kalau kita lihat kepada laporan dan pemantauan yang kita lakukan hampir setiap hari ada sahaja orang yang menceroboh masuk untuk ke kawasan yang kita katakan ada daya tarikan, kami biasanya masuk kita akan jumpa seorang atau dua orang.

“Sampah biasanya kalau kita buat kerja-kerja pembersihan satu atau dua plastik hitam itu biasanya penuh, tidak hanya tertumpu di kawasan Blue Lagoon sahaja malah kawasan lain juga.

“Malah laluan tikus itu juga ada sampah malah ada juga kawasan yang dibakar untuk aktiviti barbeku” ujar Mohd Farhan.

Mengulas lanjut, Azlizam berkata langkah tidak bertanggungjawab itu nyata mengganggu ekosistem hutan yang sebelum ini tidak diteroka oleh manusia.

Jelasnya, aktiviti pencerohonan banyak menyumbangkan kepada gangguan kepada pokok dan habitat binatang liar yang ada di Hutan Simpan Ayer Hitam.

“Banyak rungutan dan aduan masyarakat sekitar yang menerima pelawat daripada binatang liar sudah memnceroboh masuk ke kawasan kediaman.

“Bila ada gangguan mereka akan masuk ke kawasan perumahan, dimana babi hutan, monyet dan biawak sentiasa muncul akibat pencerobohan tersebut,” kata Azlizam lagi.

Bukan hanya gangguan kepada ekologi hutan malah Mohd Farhan juga menambah, ada pihak yang bertindak membuang haiwan peliharaan eksotik mereka ke dalam hutan yang turut menjadi kacau ganggu kepada ekosistem hutan.

Antaranya American Bull Frog yang bukan berasal dari negara ini.

“Kita dapati bilangan yang dilepaskan itu terlalu banyak dan kita terpaksa meminta bantuan Jabatan Perhilitan untuk kita pindahkan katak-katak ini daripasa hutan kita. Kita lihat ia boleh mengancam ekosistem dan mengganggu ekologi.

“Malah ada haiwan dan tumbuhan yang di taman yang tidak berasal di Malaysia turut dilepaskan di hutan simpan, mungkin bagi orang awam perkara itu adalah biasa tapi kesan kepada ekologi hutan itu yang kita risaukan.

“Terbaharu kajian kita mendapati spesis ikan sungai yang terdapat di kawasan ini bukan dari Malaysia, semakan pakar kata kita perlu ambil langkah menangkap haiwan itu kerana mengganggu ekologi dalam jangka masa panjang,” jelas Mohd Farhan lagi.

Untuk rekod, kolam biru atau lebih dikenali sebagai Blue Lagoon di Hutan Simpan Ayer Hitam, Taman Wawasan Puchong adalah dimiliki UPM dan merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang digunakan sebagai penyelidikan.

Ia diamanah kepada UPM selama 99 tahun sejak 1996 sehingga 2095 serta ia juga di bawah tanggungjawab UPM bagi mengendalikan aktiviti berkaitan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan.

Bukan itu sahaja, kolam Blue Lagoon antara kawasan larangan dan memerlukan permit atau permohonan dengan alasan kukuh untuk memasuki lokasi itu.

Penceroboh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000. – MalaysiaGazette

Tarikh Input: 15/04/2024 | Kemaskini: 15/04/2024 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEeCAJ~