Perkongsian Sumber Air Rentas Sempadan Penuhi Aspirasi MADANI | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Perkongsian sumber air rentas sempadan penuhi aspirasi MADANI

Perkongsian sumber air rentas sempadan penuhi aspirasi MADANI

Foto hiasan.
Foto hiasan.

 

Negara dijangka mengalami fenomena musim panas luar biasa atau ElNino mulai bulan ini sehingga September nanti, namun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) optimis Malaysia tidak akan berhadapan krisis bekalan air kritikal seperti berlaku sebelum ini, terutama pada 1998.

Namun, bekalan air bersih dan te- rawat di Malaysia kerap mengalami gangguan, sama ada berjadual atau tidak berjadual, sekali gus menimbulkan kesukaran kepada pengguna untuk melakukan aktiviti harian, ter- utama untuk mencuci, bersuci dan memasak.

Pengurusan sistem bekalan air terawat juga berbeza-beza mengikut undang-undang negeri, menjadi tembok penghalang kepada Kerajaan Pusat untuk membantu operator air menguruskan isu membabitkan gangguan bekalan air di setiap negeri.

Dasar pemisahan kuasa antara Persekutuan dan negeri merangkumi aspek bekalan air, sungai dan terusan, pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air sering menimbulkan pertikaian kerana kuasa mengurus kawasan tadahan dan rizab sungai adalah milik kerajaan negeri.

Pengasingan kuasa terhadap sumber dan pembekalan air ini bakal menjadi lebih parah dalam dekad akan datang seiring dengan peningkatan permintaan akibat pembangunan dan pertambahan penduduk serta industri.

Seharusnya satu titik noktah pada kadar segera perlu dicari supaya persengketaan antara negeri seperti antara Kedah dan Pulau Pinang tidak merebak kepada perbalahan sempadan geopolitik tidak berkesudahan.

 

Umum sering menganggap Malaysia tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan air ketika musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan banyak setiap tahun.

Namun, ciri, keupayaan dan kemampuan setiap kawasan tadahan menyerap air berbeza-beza serta berkemungkinan tidak pada tahap optimum akibat perubahan guna tanah dan perubahan iklim.

Dalam usaha memastikan akses kepada air te- rawat selamat bagi mengupayakan hak asasi manusia seperti digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia perlu memberi tumpuan kepada empat punca utama isu ini yang terkait dengan perubahan iklim, pengurusan syarikat air, pengurusan permintaan serta kewajaran subsidi berlebihan.

Tidak banyak boleh dilakukan negara ketika fenomena El Nino melanda menurut Agensi Makanan dan Pertanian PBB (UNFAO), namun perancangan dan dasar berfokus data serta sains diperlukan dalam aspek pengurusan air ketika kemarau memandangkan kita terlalu fokus kepada banjir.

Merakyatkan sektor bekalan air amat diperlukan, terutama apabila mentafsir keputusan kerajaan Perak yang enggan berunding dengan Pulau Pinang mengenai perbekalan air serta tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, menyebabkan pengguna menjadi mangsa.

Tentu faktor pembeli dan penjual menjadi pemberat dalam keputusan itu, namun situasi ini agak janggal ketika Sabah menerima geran Persekutuan sebanyak RM320 juta bagi kerja jangka pendek untuk menyelesaikan isu air.

Penyelesaian peringkat Perlembagaan

Jelas, isu air memerlukan penyelesaian peringkat Perlembagaan berasaskan data dan merentasi semangat kenegerian. Pelaburan dalam bentuk menyimpan air bagi kegunaan rakyat negeri adalah diperlukan, namun adalah lebih baik jika kerjasama negeri berjiran digembleng untuk melaksanakan strategi pengurusan lembangan rentas sempadan politik.

Negeri tidak harus mengongkong sumber air masing-masing sebaliknya harus berkongsi kemakmuran dengan membuka kemungkinan meneroka sumber baharu seperti air bawah tanah.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan harus lebih tegas dalam menangani isu air tidak berhasil (NRW) iaitu air terawat tidak sampai kepada pengguna. Penyaluran dana dan modal besar perlu dipantau rapi demi menjamin tiada ketirisan serta memastikan pengupayaan modal insan tempatan diberi keutamaan menghasil penyelesaian mampan.

SPAN melaporkan purata NRW negara adalah 37.2 peratus pada 2022, membabitkan pembaziran 7.084 juta liter air terawat setiap hari dengan jum- lah kerugian sekitar RM2 bilion setahun. Peratusan tinggi ini tidak boleh diterima dan syarikat harus dipertanggungjawabkan menghasilkan strategi mengatasi NRW lebih berkesan.

Dana sejumlah RM2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi kerugian operator air tidak harus dijadikan amalan tahunan sehingga menjadikan syarikat operator kurang kompetitif, kekal bersifat monopoli dan membebankan rakyat pada akhirnya.

Selaras dengan perkembangan semasa, tarif air perlu dinilai semula oleh kerajaan melalui mekanisma imbangan kos dengan sasaran hanya isi rumah layak perlu diberikan subsidi bersasar. Ini perlu dituruti dengan perubahan sikap masyarakat dan industri dalam meningkatkan kecekapan penggunaan air.

Namun, sebarang langkah menstruktur semula tarif air amat dibimbangi kerajaan negeri, ter-
utama ketika pilihan raya semakin menghampiri kerana tidak mahu pengundi memihak kepada parti lawan, namun kesepakatan Kerajaan Perpaduan perlu digembleng seperti menjadikan tarif air sebagai isu larangan atau sensitif ketika berkempen.

Apabila air diberi nilai sewajarnya dan kerjasama perkongsian sumber air rentas sempadan negeri menjadi realiti di Malaysia, maka hasrat dan tekad untuk menyelesaikan isu air seluruh negara akan lebih mudah tercapai, demi memenuhi aspirasi Malaysia MADANI.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 13/06/2023 | Kemaskini: 13/06/2023 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEdKA4~