Kalau Tuan Bijak Bestari, Mari Budayakan Amalan Lestari | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Kalau tuan bijak bestari, mari budayakan amalan lestari

Kalau tuan bijak bestari, mari budayakan amalan lestari

Siti Aizza Sarmani, Amir Hamzah Sharaai

Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mengotorkan alam sehingga boleh menjejaskan ekosistem di muka bumi ini. Antara punca-punca pencemaran alam sekitar yang biasa berlaku di Malaysia ialah pencemaran udara yang disebabkan oleh pembebasan bahan kimia berbahaya ke udara melalui asap kenderaan atau kilang manakala pencemaran air adalah akibat pembuangan sisa toksik secara haram. Selain itu, pencemaran tanah juga boleh berlaku apabila bahan kimia bahaya contohnya daripada pestisid yang selalu digunakan dalam aktiviti pertanian meresap ke dalam tanah dan mengubah kandungan kimia tanah secara semulajadi.

Jika diperhatikan dan diperhalusi secara lebih terperinci, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kemusnahan alam sekitar di Malaysia secara amnya adalah berpunca daripada aktiviti pembangunan ekonomi yang tidak terkawal. Aktiviti penebangan hutan boleh dikatakan merupakan punca kemusnahan alam sekitar yang paling utama di negara kita. Hal ini disebabkan kita menebang hutan untuk membina petempatan baru bagi menyokong pertumbuhan populasi rakyat Malaysia yang kini sudah mencapai populasi sebanyak 30 juta. Angka ini sebenarnya lebih besar jika kita mengambil kira bilangan warga asing yang menetap di Malaysia sama ada secara sah atau tidak yang dianggarkan melebihi 3 juta orang.

Pembakaran hutan secara berleluasa untuk aktiviti pertanian juga memberikan impak yang besar kepada alam sekitar di Malaysia. Aktiviti pembakaran secara terbuka meningkatkan bilangan titik panas (hotspot) dan menyebabkan pembebasan asap tebal secara berterusan yang menjejaskan tahap kualiti udara di kawasan sekitar seperti yang terjadi tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang pada pertengahan Januari 2022 ini. Asap tebal menyelubungi kawasan persekitaran selama 6 hari hingga memaksa penduduk di kawasan setempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) baru-baru ini. Itu belum lagi kita bercerita tentang pembakaran hutan di negara jiran yang menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan tahap kualiti udara di negara kita hampir setiap tahun.

Pembuangan sisa toksik (tompokan minyak yang berbau busuk) di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang berlaku pada tahun 2021 adalah merupakan ulangan dari kes yang serupa di sungai tersebut yang berlaku pada tahun 2019. Nampaknya undang-undang di negara kita kemungkinan tidak begitu menakutkan mereka hingga pihak yang tidak bertanggungjawab berani melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang tersebut beberapa kali. Dalam kes yang berlaku pada tahun 2019, 6000 penduduk Pasir Gudang terjejas dengan 111 buah sekolah terpaksa ditutup sementara berikutan berlaku kejadian sesak nafas, pitam dan loya.

Di sinilah pentingnya pembangunan lestari (Sustainable Development Goal - SDG) diaplikasikan dalam modul pembangunan negara kita seperti saranan United Nation. Mengikut Brundtland Report 1987, pembangunan lestari didefinisikan sebagai pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa depan. Pembangunan lestari harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampungnya, pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta kadar pencemaran yang dicetuskan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya (White & Whitney, 1992).

Polisi Malaysia mengenai pembangunan lestari jelas disebut di dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (GOM 1996). Menurut Rancangan Malaysia Ke-7 terdapat suatu keperluan bagi mengukuhkan pangkalan data alam sekitar (environmental database) dan sistem maklumat (information systems) untuk memantau dan menilai kemajuan ke arah pembangunan lestari di Malaysia. Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (IPASM) diwujudkan bagi mengetahui sejauh mana pencapaian alam sekitar negara dalam konteks pembangunan lestari. Secara umumnya untuk mengukur pencapaian sesuatu bidang dengan menggunakan pendekatan indeks, bukanlah suatu yang baru bagi negara. Ia telah digunakan secara meluas contohnya dalam mengukur indeks inflasi, indeks keluaran dalam negara kasar, indeks pengangguran dan indeks kualiti hidup. Terdapat beberapa indeks yang berkaitan dengan alam sekitar diwujudkan di kebanyakan negara antaranya ialah Indeks Pencemaran Udara, Indeks Kualiti Air Sungai, Indeks Pembangunan Lestari (Environmental Sustainability Index), Indeks Kebolehterancaman Alam Sekitar (Environmental Vulnerability Index) dan Greendex.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan seperti contoh kempen kitar semula, cintailah sungai kita dan banyak lagi. Sejauh manakah keberkesanan kempen yang dijalankan ini dapat membantu alam sekitar yang kian tercemar? Masyarakat dilihat hanya memandang enteng serta tidak melibatkan diri di dalam pelbagai kempen yang dijalankan, justeru pihak kerajaan dan swasta perlu merancang strategi lagi yang difikirkan sesuai bagi menarik anggota masyarakat untuk menyertai kempen-kempen yang dijalankan.

Untuk pengetahuan para pembaca, pengenalan konsep Life cycle thinking (LCT) sebagai suatu norma baru dalam kehidupan kita merupakan salah-satu inisiatif kerajaan demi membudayakan cara hidup yang menyokong asas pembangunan lestari. LCT ialah suatu rangka kerja holistik tentang kitaran hayat sesuatu produk, proses atau perkhidmatan bermula dari awal pembuatan hingga akhir hayat produk tersebut. LCT menilai kesan-kesan sampingan yang mungkin wujud dalam sepanjang kitar hayat produk dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan pembetulan yang sewajarnya demi meminimumkan kesan atau impak produk tersebut. Ini membolehkan keputusan strategik jangka panjang dibuat berkaitan produk portfolio, hala tuju penyelidikan, pembangunan dan inovasi, perancangan pelaburan dan lain-lain perancangan ekonomi yang menyokong ekonomi sekular yang menjadi asas kepada pembangunan lestari.

Kerajaan Malaysia secara dasarnya menyokong konsep LCT dan Life Cycle Assessment (LCA) melalui penggubalan polisi semasa contohnya seperti pengenalan Polisi Teknologi Hijau Nasional yang mengutamakan pendekatan konsep karbon rendah alam sekitar (low carbon environment concept). Malaysia juga menggunakan LCA berasaskan impak perubahan cuaca (climate change impact) untuk mengukur potensi pengurangan kesan rumah hijau (greenhouse gases) yang dihasilkan oleh industri penghasilan minyak sawit negara. Di bawah “National Renewable Energy Policy and Action Plan” Kerajaan juga bermurah hati memberikan pelbagai insentif untuk menggalakkan teknologi hijau dan pembaharuan tenaga (renewable energy) dalam sektor swasta. Bagaimanapun, penglibatan pihak swasta dalam penerapan budaya LCA masih lagi rendah walaupun pelbagai insentif telah disediakan oleh pihak kerajaan. Budaya circular ekonomy di mana tiada sisa pembuangan dan semua output produk dikitar menjadi input masih lagi jauh untuk dicapai dengan keadaan teknologi dan kapasiti yang kita ada sekarang. Tetapi itu tidak bermakna kita berada di tahap sifar. Sedikit demi sedikit kita sudahpun memulakan pendekatan LCA dalam pembangunan sosioekonomi kita, contohnya teknologi pembinaan kediaman di wilayah Iskandar Malaysia menunjukkan tahap efisien yang baik dalam sistem pembangunan industri atau industrialized building system (IBS) dari aspek tenaga dan kawalan pemanasan global. Walau bagaimanapun, usaha ini didapati mengabaikan aspek lain seperti masalah pencemaran air bersih dan kualiti udara. Apapun, ia merupakan suatu permulaan yang baik dan menjadi batu asas (benchmark) bagi penerapan nilai-nilai LCA dalam sektor industri di masa akan datang.

Sebagai individu, kita juga tidak boleh ‘goyang kaki’ dan tidak memainkan sebarang peranan dalam menyokong usaha kerajaan ini. Kempen-kempen alam sekitar seperti “Hari Tanpa Beg Plastik”, “Kempen Bebas Straw”, penggunaan pengangkutan awam dan banyak lagi sebenarnya nampak kecil tetapi memberikan impak yang besar kepada pengurangan pembebasan jejak karbon kepada alam sekitar. Kita juga boleh memilih untuk menyokong produk-produk pertanian berasaskan organik, melebihkan pengambilan sayur-sayuran berbanding daging dalam makanan dan melakukan “Earth Hour” secara kecil-kecilan di rumah kita untuk menjimatkan penggunaan elektrik. Dengan penduduk planet bumi yang menjangkau populasi 8 billion ketika ini, sebenarnya sumbangan kecil setiap individu adalah lebih penting dan meninggalkan impak yang jauh besar dalam usaha mewujudkan alam sekitar lestari. Ingatlah pepatah, “kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, tetapi meminjamnya daripada anak-cucu kita”. Kita sebenarnya perlu memahami apakah makna sebenar mutiara kata ini. Ia bukan sekadar untaian kata pencantik bahasa, tetapi adalah untaian kata untuk dilaksana. Dengan erti kata lain, kita bukan pemilik mutlak dunia ini tetapi merupakan pemegang amanah semata-mata. Oleh itu, jalankanlah tanggungjawab kita dan jagalah amanah ini sebaik-baiknya untuk diserahkan kepada pemegang amanah seterusnya.

Tarikh Input: 31/10/2022 | Kemaskini: 31/10/2022 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXDdSAb~