Jadikan Bekalan Sumber Air Senarai Bersama Negeri Dan Persekutuan | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Jadikan bekalan sumber air senarai bersama negeri dan persekutuan

Jadikan bekalan sumber air senarai bersama negeri dan persekutuan

Empangan-asahan
Empangan Asahan, Melaka

TEMA Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu berkisar tentang usaha mencari penyelesaian, menghentikan serta mengurangkan pencemaran plastik. Perwakilan lebih 200 negara sedang bermesyuarat di Paris dalam usaha mencari penyelesaian sama ada menghadkan pengeluaran plastik sebagai sasaran utama atau bertukar ke ekonomi kitaran seperti yang disaran oleh sektor petrokimia.

Program Alam Sekitar Bangsa Bersatu (UNEP) menyasarkan pengurangan sisa plastik sebanyak 80 peratus menjelang 2040. Turut menjadi agenda adalah bagaimana suatu mandat yang global serta penyelesaian peringkat kebangsaan boleh dijadikan sebagai komponen dalam perjanjian pencemaran plastik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tanpa menidakkan plastik sebagai salah satu krisis alam sekitar global yang paling cepat meningkat, kita harus berani menilai semula keutamaan negara dalam senarai panjang berkait alam sekeliling. Sebagai sebuah negara membangun, apa jua isu alam sekitar harus dinilai daripada aspek upaya biaya, kebolehlaksanaan dan kebertanggungjawapan kesemua pemegang taruh.

Hakikatnya, pencemaran plastik merupakan isu yang sepatutnya boleh dikawal secara dalaman ketika rundingan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris menambahbaik kerangka perundangan kawal selia pencemaran plastik. Malah, penghasilan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 harus dipuji.

Cumanya kekerapan pertukaran pimpinan politik serta pilihan pembuat dasar di kementerian yang banyak membantutkan rencana ini.

Ini berbeza dengan konflik tentang air samada sesama negeri-negeri dalam Malaysia mahupun dengan negara jiran yang penuh dengan cabaran dan berliku. Dasar pemisahan kuasa kerajaan Persekutuan yang merangkumi aspek bekalan air, sungai dan terusan, pengeluaran; pengagihan dan pembekalan kuasa air sedangkan kawasan tadahan dan rezab sungai adalah milik kerajaan negeri telah sering menimbulkan pertikaian.

Pengasingan kuasa terhadap sumber dan pembekalan air ini bakal menjadi lebih parah dalam dekad akan datang seiring dengan peningkatan permintaan akibat pembangunan dan pertambahan penduduk serta industri. Seharusnya satu titik noktah pada kadar segera dicadangkan agar persengketaan air antara negeri di utara semenanjung ketika ini contohnya tidak merebak kepada perbalahan sempadan geopolitik yang tidak berkesudahan malahan sia-sia.

Umum sering menganggap bahawa Malaysia tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan air ketika musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan yang banyak setiap tahun. Namun, ciri, keupayaan dan kemampuan setiap kawasan tadahan menyerap air adalah berbeza-beza dan berkemungkinan tidak pada tahap yang optima akibat perubahan guna tanah dan perubahan iklim.

Dalam usaha memastikan akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi sebagai mengupaya hak asasi manusia sepertimana diterima pakai oleh PBB, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada empat punca utama isu ini yang terkait dengan perubahan iklim, pengurusan syarikat air, pengurusan permintaan serta kewajaran subsidi berlebihan.

Perubahan iklim

Tidak banyak yang boleh dilakukan negara ketika cuaca panas dan kering yang dialami sekarang dipacu oleh fenomena El Nino menurut Agensi Makanan dan Pertanian PBB (UNFAO). Namun perancangan dan polisi yang berfokus data dan sains diperlukan dalam aspek pengurusan air semasa kemarau memandangkan kita terlalu fokus kepada banjir. Merakyatkan sektor bekalan air amat diperlukan terutama apabila mentafsir keputusan kerajaan Perak yang enggan berunding dengan Pulau Pinang mengenai perbekalan air serta tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS)
kepada Pulau Pinang, yang walaupun dihormati namun pastinya menyebabkan pengguna menjadi mangsa.

Tentunya faktor pembeli dan penjual menjadi pemberat dalam keputusan tersebut, namun situasi ini agak janggal ketika Sabah menerima geran Persekutuan sebanyak RM320 juta bagi kerja jangka pendek untuk menyelesaikan isu air. Kegusaran air akan bertambah parah jika berlaku pencemaran manakala kerajaan negeri mula membenarkan penerokaan kawasan tadahan masing-masing.

Jelasnya, isu air memerlukan penyelesaian peringkat perlembagaan yang berasaskan data dan merentasi semangat kenegerian. Pelaburan dalam bentuk menyimpan air bagi kegunaan rakyat negeri adalah difahami, namun adalah lebih baik jika kerjasama negeri, berjiran digembleng untuk melaksanakan strategi pengurusan lembangan rentas sempadan politik. Negeri tidak harus mengongkong sumber air masing-masing sebaliknya harus berkongsi kemakmuran dengan membuka kemungkinan meneroka sumber baharu seperti air bawah tanah.

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan harus lebih tegas dalam isu air tidak berhasil (NRW) iaitu air terawat yang tidak sampai kepada pengguna. Penyaluran dana dan modal besar perlu dipantau rapi terutama demi tiada ketirisan serta memastikan pengupayaan modal insan tempatan diberi keutamaan dalam menghasil penyelesaian yang mampan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaporkan purata NRW negara adalah 37.2 peratus pada 2022, membabitkan pembaziran 7.084 juta liter air terawat setiap hari dengan jumlah kerugian sekitar RM2 bilion setahun. Peratusan tinggi ini tidak boleh diterima dan syarikat harus dipertanggungjawabkan dalam menghasilkan strategi mengatasi yang lebih berkesan. Dana sejumlah RM2 billion oleh kerajaan persekutan bagi mengatasi kerugian operator air tidak harus dijadikan amalan tahun bakal menjadikan syarikat kurang kompetitif, kekal bersifat monopoli dan membebankan rakyat pada akhirnya.

Selaras dengan perkembangan semasa, tarif air perlu dinilai semula oleh kerajaan melalui mekanisma imbangan kos dengan sasaran hanya isirumah yang layak perlu diberikan subsidi bersasar. Ini perlu dituruti dengan perubahan sikap oleh masyarakat dan industri dalam meningkatkan kecekapan penggunaan air. Langkah berani dalam menilai semula tarif kelihatan seolah memakan diri ketika pilihan raya semakin mendekat, namun, kesepakatan kerajaan perpaduan perlu digembleng dengan menjadikan tarif air sebagai isu larangan semasa kempen politk.

Apabila air diberi nilai yang sewajarnya dan kerjasama perkongsian sumber air rentas sempadan negeri menjadi realiti di Malaysia, maka hasrat dan tekad untuk menyelesaikan isu air seluruh negara akan lebih mudah tercapai, demi Malaysia Madani.

Oleh: Dr. Mohd Yusoff Ishak
Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM

Tarikh Input: 13/06/2023 | Kemaskini: 20/06/2023 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEdHAK~