Hutan Masih Lagi Dijajah Oleh Manusia, Merdekakah Kita? | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Hutan Masih Lagi Dijajah Oleh Manusia, Merdekakah Kita?

Hutan Masih Lagi Dijajah Oleh Manusia, Merdekakah Kita?

Oleh: Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail

Saban hari kita lihat banyak kerosakan dilakukan oleh manusia di atas muka bumi. Kerosakan itu berlaku di darat dan lautan telah menyebabkan berlakunya pencemaran alam seperti banjir kilat, tanah runtuh, kepupusan sumber biodiversiti dan sebagainya.

Ini merupakan satu peringatan kepada manusia terhadap kerakusan tindak tanduk manusia di atas muka bumi ini. Tahun ini kita meraikan Hari Hidupan Liar Sedunia (3 Mac 2022). Hari Hutan Antarabangsa (21 Mac 2022), Hari Bumi (22 April 2022), Hari Biodiversiti Antarabangsa (22 Mei 2022), Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun 2022), Hari Harimau Antarabangsa (29 Julai 2022) dan di bulan kemerdekaan ini kita meraikan Hari Gajah Sedunia (12 Ogos 2022).

Apakah kita sudah merdeka?  Secara rasmi dan sejarahnya kita sudah merdeka sejak 31 Ogos 1957. Sejak dari itu 65 tahun kita mengisi kemerdekaan dengan wajah Malaysia. Ini termasuklah mengurus dan membangunkan sumber asli demi kelangsungan pembangunan lestari dan keharmonian rakyat.

Dalam meniti arus kemerdekaan kita telah merangka agenda pembangunan negara untuk menjadi negara maju berlandaskan keseimbangan fizikal, alam sekitar dan kerohanian.

Menjelang tahun 2030 melalui Wawasan Kemakmuran Bersama kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Pada masa ini negara kita mempunyai liputan keluasan hutan kira-kira sebanyak 53% berbanding keluasan tanah negara. Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan pada 29 Januari 2021 adalah menjadi rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dan juga dirangka untuk memacu ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti mana termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan juga terangkum di dalam Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan (2021-2025).

Sehingga 25 Ogos 2021 kawasan hutan yang diwartakan sebagai kawasan perlindungan yang terletak di bawah pengurusan Jabatan PERHILITAN di semenanjung ialah berkeluasan kira kira 544,449.5 ha, iaitu 15 kawasan kesemuanya.

Rizab hidupan liar (RHL) yang terawal diwartakan ialah di Krau, Pahang pada tahun 1928. Antara yang terbaharu ialah Rizab Tuntung bukit Palong, Terengganu pada tahun 1991 dan pada tahun ini Taman Negara Johor Endau Rompin yang telah diiktiraf sebagai Taman warisan ASEAN (48,905 ha.). Setakat ini rizab terbesar ialah Taman Negara Pahang (248,121 ha) dan kedua Taman Negara Terengganu (103,082 ha).

 

Namun merdekakah khazanah hutan kita?

Pencerobohan hutan dan tanah rizab, kes jenayah hidupan liar dan konflik hidupan liar yang sering berlaku menjadi ancaman kepada kelestarian biodiversiti negara. Mengikut laporan PERHILITAN dari tahun 2012 hingga 2018 sahaja terdapat 7,788 kes jenayah melibatkan hidupan liar mengikut beberapa kategori kesalahan, antaranya pemburuan, pencerobohan, penyeludupan, perniagaan dan lain-lain.

Manakala kes konflik hidupan liar telah membawa kerugian kepada negara. Kerugian konflik dari tahun 2013 hingga 2018 mencecah RM 25,094,048.90. Kerugian ini adalah dari 23 spesies haiwan dan terbesar ialah konflik bersama gajah (RM16,961,910.00), diikuti Babi Hutan, Kera, Tapir, Beruang matahari dan Harimau belang.

Penyahhutanan yang berlaku tanpa dikawal akan menyebabkan bukan sahaja kehilangan kolam penyimpanan karbon tetapi turut menyebabkan kehilangan habitat hidupan liar, biodiversiti dan memberi ancaman kepada hidupan haiwan.

Mengupas erti “Menjajah negara sendiri” dalam kerangka bulan kebangsaan ini dari sisi yang sedikit berbeza bukanlah mudah. Ironinya penjajahan akan memberi kesukaran dan kesusahan kepada peribumi.

Apabila hutan diwartakan sebagai hutan perlindungan untuk komuniti hidupan liar maka ia sudah memberi suatu “kebebasan” kepada komuniti haiwan. Mereka mempunyai kawasan rayau dan bebas bergerak mencari makanan tanpa diancam. Namun apabila kawasan “berdaulat “mereka di ceroboh oleh penjajah maka ada dikalangan mereka akan bertindak!

Pencerobohan yang berlaku memberi ancaman kepada habitat haiwan liar seperti Harimau Malaya, Harimau Kumbang, Tapir, Gajah, Beruang Matahari dan juga 15 jenis hidupan liar lain yang dilindungi sepenuhnya. Penebangan dan pembukaan tanah hutan tanpa terkawal akan memaksa spesies yang dilindungi ini untuk bergerak keluar dari hutan, dan konflik hidupan liar-manusia mungkin terjadi kerana wilayah mereka diceroboh dan terdapat kebun dan pertempatan berdekatan dengan kawasan itu.

Lebih membimbangkan jika kawasan ladang itu berpagar dan ini akan menghadkan pergerakan mereka akibat pemutusan jaringan koridor ekologi. Jadi apakah kita sudah dikira merdeka kerana khazanah negara terus diceroboh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab?

Kita sendiri yang menjajah dan menjarah khazanah hutan negara sendiri dengan menghancurkan tempat tinggal dan perlindungan haiwan dan ekosistemnya. Pencerobohan ladang sawit dan ladang durian haram di dalam hutan simpan dan perlindungan merupakan satu jenayah dan penjajahan kepada alam.

Kerosakan yang berlaku tidak mudah untuk dibaik pulih dan mengembalikan kehilangan fauna dan flora kepada keadaan asal. Ia sepatutnya dikawal dan dicegah dari peringkat awal. Pemulihan akan melibatkan kos yang besar. Mengapa masih tentang isu seperti ini?

Secara umumnya peluasan kawasan ladang dan pertanian adalah faktor utama kehilangan biodiversiti di kawasan tropika. Beberapa isu berkaitan pencerobohan ladang sawit, getah dan durian di dalam kawasan hutan dan berdekatan dengan hutan perlindungan telah dilaporkan sebelum ini seperti di Pahang, Kedah dan Kelantan. Contohnya pada awal 2002, satu kajian telah dijalankan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) dengan Pejabat Perdana Menteri di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan disokong Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), yang memfokuskan isu pencerobohan hutan simpan di Gunung Benum di Raub, Pahang.

Kajian merumuskan Banjaran Benum yang terletak di antara Jerantut, Raub dan Temerloh menempatkan jaringan rizab hidupan liar terbesar di semenanjung Malaysia, iaitu Rizab Hidupan Liar Krau. Satu daripada Hutan Simpan Kekal (PFR), Gunung Benum juga terletak di banjaran itu. Hasil kajian menunjukkan petani haram menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum dengan keluasan kira-kira 2,800 hektar, meliputi tanah kerajaan negeri dan hutan simpan.

Penerokaan begini memberi tekanan dan ancaman kepada kawasan perlindungan hidupan liar. Pihak berwajib perlu memantau dan mengambil tindakan yang tegas kepada penceroboh dan pelaku jenayah alam sekitar. Namun apakah tindakan yang telah di buat oleh pihak berkuasa mencukupi?

 

 Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang serta isu integriti menyebabkan isu pencerobohan ini tidak berkesudahan. Jesteru itu disarankan cadangan bahawa ladang harus di buat lebih mesra kepada hidupan liar dan mendapat kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang telus. Amalan "mesra hidupan liar “ini berbeza dengan strategi "menjimatkan tanah" yang menggalakkan pengasingan kawasan pertanian dan pemuliharaan. Kita boleh memfokuskan pada strategi mesra hidupan liar untuk mengekalkan kelompok pemecahan hutan dalam matriks atau kawasan pertanian. Pendekatan ini mampu menyeimbangkan kelimpahan dan kepelbagaian haiwan. Oleh itu, dari perspektif pemuliharaan, sebarang usaha dalam mengekalkan kelopok pemecahan hutan dan koridor ekologi akan lebih baik jika ia berkait secara langsung dengan perlindungan hutan bersebelahan.

Usaha seperti rancangan pengurusan koridor ekologi untuk projek Central Forest Spine (CFS) di Hutan Simpan Panti -Hutan Simpan Sedili oleh FRIM adalah suatu usaha yang boleh dipuji. Projek ini mendapat pembiayaan dari Global Environmental Facility (GEF)/United Nation Development Program (UNDP).Ini bagi memastikan kesan langsung dari projek CFS tidak memberi impak yang ketara terhadap ekologi hidupan liar melalui satu rancangan pengurusan koridor ekologi CFS terpilih. Ini menunjukan kerajaan turut memelihara dan memulihara kawasan berhutan serta biodiversiti dengan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh pelbagai projek seperti perhutanan sosial dan konservasi hidupan liar.

Masyarakat setempat juga perlu ada kesedaran dan memainkan peranan sebagai “mata dan telinga’ bagi memantau dan melaporkan kegiatan pencerobohan hutan secara haram di negara ini demi memastikan “kebebasan” hutan, hidupan liar, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat terjaga secara keseluruhannya dinegara yang berdaulat ini.

 

Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 30/08/2022 | Kemaskini: 30/08/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEaKAx~