Ikan Loma: Pekasam Atau Pemeliharaan? | FACULTY OF FORESTRY AND ENVIRONMENT
» ARTICLE » Ikan Loma: Pekasam atau pemeliharaan?

Ikan Loma: Pekasam atau pemeliharaan?

Pengenalan
Pernah makan pekasam ikan Loma? Pada yang pernah, sudah tentu dapat menceritakan kelazatan pekasam ikan Loma ini. Rasanya berbeza dengan ikan pekasam lain? Wallahualam kerana saya bukanlah peminat ikan pekasam.

Pekasam ikan Loma boleh dipasarkan dimerata tempat seluruh Semenanjung Malaysia. Ia dijual dengan harga RM5 hingga RM7 sepaket bergantung kepada jumlah ikan sepaket (Gambar rajah 1). Pekasam ikan Loma boleh digoreng atau pun dibuat gulai (Gambar rajah 2). Penduduk setempat menjadikan ikan Loma ini sebagai pekasam agar bekalan makanan boleh disimpan untuk jangka masa yang lama.

Gambar rajah 1. Perkasam ikan Loma dalam paket sedia untuk dijual. Gambar oleh Nik Nor Rahimah Abd Rahim



Gambar rajah 2. Perkasam ikan Loma yang telah digoreng. Gambar oleh Nik Nor Rahimah Nik Ab Rahim


Ikan Loma atau nama saintifiknya adalah Thynnichthys thynnoides merupakan ikan sungai daripada Famili Cyprinidae. Ikan Loma juga boleh didapati negara lain termasuklah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Di Malaysia, ikan Loma ini terdapat di Sungai Perak dan Sungai Pahang. Namun, di Sungai Perak, ikan Loma ini dikatakan agak unik kerana ianya akan berhijrah ke hulu sungai iaitu Sungai Rui untuk bertelur terutamanya sebelum bermulanya musim tengkujuh (Gambar rajah 3). Penghijrahan ikan Loma daripada habitat perlindungan dan kawasan mencari makanan (sekitar Kenering dan Bersia) ke Kuala Rui (kawasan persinggahan) hingga ke Kg. Alai (kawasan bertelur) bermula pada bulan Ogos hingga Oktober. Peningkatan paras air dan kelajuan air pada musim hujan mencetuskan penghijrahan ikan Loma ini ke hulu sungai (Radhi, Rohasliney, Amal, & Zarul, 2020). Ikan Loma bergerak secara berkumpulan dan akan menghasilkan satu bunyi menandakan kedatangan mereka. Penduduk setempat menggunakan bunyi ini untuk mula menangkap ikan ini.

Gambar rajah 3. Peta penghijrahan ikan Loma di Sungai Perak dan Sungai Rui. Sumber: Radhi, Rohasliney, Amal & Zarul (2020)


Kepentingan ikan loma
Dalam perikanan, ikan Loma mempunyai nilai komersil kepada penduduk setempat kerana ianya dijadikan pekasam. Pekasam ini dijual di pasar-pasar dan di serata Semenanjung Malaysia. Selain daripada itu, ikan Loma merupakan sumber protein bagi penduduk setempat. Dari segi ekologikalnya, ikan Loma (Gambar rajah 4) sama seperi seperti spesies fluvial yang lain di sungai yang sangat bernilai untuk pemuliharaan dan rekreasi. Kehadiran ikan Loma sebagai ikan jenis omnivoros akan mengimbangkan jaringan makanan di dalam ekosistem sungai. Ikan Loma juga boleh dijadikan sebagai haiwan petunjuk kepada status kesihatan ekosistem sungai. Populasi ikan yang sihat akan menggambarkan ekosistem yang sihat. Ekosistem yang sihat bermaksud kualiti air dan habitat yang baik dan mampu untuk menyokong kemandirian ikan Loma dan haiwan lain di dalam sungai. Secara tak langsung, ekosistem sungai dapat memberi servis yang baik untuk manfaat bumi secara keseluruhannya termasuklah kepada manusia.

Gambar rajah 4. Ikan Loma yang baru ditangkap menggunakan jala di kuala Sungai Rui, Perak. Gambar oleh Mohamad Radhi Amonodin (2017)


Ancaman terhadap ikan loma
Antara ancaman kepada populasi ikan Loma adalah tekanan tangkapan, pencemaran air yang melampau, kemerosotan kualiti habitat, dan bencana semulajadi. Tiga ancaman pertama merupakan hasil daripada tekanan manusia yang mampu menyebabkan kepupusan ikan Loma.

Tekanan tangkapan
Penangkapan ikan yang berlebihan di dunia menjadi subjek kebimbangan sejak 10 tahun dahulu lagi terutamanya perikanan marin. Namum, tekanan tangkapan perikanan darat juga mendapat liputan yang luas di kebanyakan negara. Tekanan penangkapan ikan terhadap Loma dijangka meningkat memandangkan ikan Loma mempunyai nilai komersial yang tinggi dan disasarkan secara terpilih semasa musim bertelur. Semasa musim bertelur, nelayan kecil-kecilan dan pemancing rekreasi biasanya menunggu untuk menangkap ikan Loma kembali ke hulu untuk bertelur. Ikan yang ditangkap pada musim bertelur biasanya mengandungi telur yang sudah matang. Ini menunjukkan bahawa Ikan Loma dieksploitasi bagi tujuan komersil dan sukan rekreasi. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, populasi ikan Loma akan terus berkurangan dan ini akan menyebabkan kepupusan.

Pencemaran air dan kemerosotan kualiti habitat
Ancaman kedua kepada populasi ikan Loma adalah aktiviti manusia secara melampau yang menyebabkan kemerosotan kualiti habitat dan air sungai. Perubahan habitat sungai menjadi ancaman teruk kepada populasi ikan Loma. Kekeruhan dan pemendapan akibat penggunaan tanah di tebing sungai bagi tujuan pembangunan dan pertanian mungkin memburukkan lagi keadaan. Selain daripada itu, kualiti air di Sungai Rui didapati agak terjejas disebabkan oleh aktiviti perlombongan di anak sungai Rui iaitu Sungai Kepayang. Apabila kapur dimasukkan secara terus ke dalam air sungai sebagai salah satu daripada usaha untuk menaikkan nilai pH air sungai yang berasid ke julat yang normal, sedimen kapur akan terkumpul di hulu sungai kemudian dialirkan ke hilir iaitu Sungai Rui semasa hujan lebat. Akibatnya, berlaku kematian ikan secara besar-besaran di Sungai Rui pada tahun 2014. Pasa masa ini, populasi ikan Loma merosot dan ini menjadi kebimbangan kepada penduduk setempat kerana sumber pendapatan mereka terjejas. Selain daripada itu, logam berat seperti arsenik juga menjadi ancaman kepada kesihatan populasi ikan Loma. Kandungan bahan terampai yang tinggi di dalam air juga boleh menyebabkan kualiti habitat ikan Loma terutamanya kawasan bertelur terosot. Kelodak daripada hakisan akibat daripada aktiviti manusia memberi kesan kepada kesihatan ikan Loma. Gambar rajah 5 menunjukkan pengelasan Sungai Rui berdasarkan kandungan jumlah bahan terampai (TSS) di dalam air (Radhi, Rohasliney, & Amal, 2019).

Gambar rajah 5. Peta menunjukkan pengelasan sungai berdasarkan jumlah bahan terampai. Sumber Radhi, Rohasliney & Amal (2019)


Oleh itu, walaupun Status Senarai Merah (IUCN) pada masa ini melaporkan bahawa ikan Loma dikategorikan sebagai spesies yang paling tidak membimbangkan (Vidthayanon, 2012), namun populasi ikan ini mungkin lama kelamaan akan terjejas dan mengalami tekanan aktiviti manusia. Justeru, mengurangkan keupayaan ikan ini dalam memaksimumkan pengeluaran perikanan darat. Kajian aspek produktif ikan Loma telah dilaksanakan pada tahun 2018 mendapati bahawa tahap kesuburan (fekunditi) populasi ikan Loma telah berkurang (Alya Ilyani, Rohasliney, & Zarul, 2022). Ia mungkin disebabkan oleh kualiti air dan habitat yang semakin terjejas menyebabkan kesihatan ikan Loma semakin merosot. Ia juga mungkin daripada tekanan tangkapan ikan secara berlebihan (overfishing) lebih-lebih lagi pada musim bertelur atau semasa pesta ikan Loma. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berkerjasama dalam memastikan populasi ikan Loma mampu bertahan dan bermandiri.

Langkah pengurusan perikanan bagi ikan loma

Bagi memastikan ikan Loma dapat menjadi pekasam secara berterusan untuk kita nikmati bersama dengan nasi panas-panas, maka pihak berkepentingan perlulah memainkan peranan yang sewajarnya bagi membendung ancaman kepada ikan Loma.

Antaranya mengenakan kawalan terhadap peralatan penangkapan ikan dan kaedah penangkapan. Ini bermakna nelayan dan penduduk setempat hanya menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti jala, sauk dan jaring. Nelayan dan penduduk setempat perlu mengelak menggunakan Lei atau pukat yang menangkap ikan secara besar-besaran (Gambarajah 6). Peralatan tangkapan yang boleh memusnahkan habitat dan menjejaskan kualiti air juga perlu diharamkan seperti racun tuba.

Gambar rajah 6. Lei yang digunakan oleh penduduk setempat untuk menangkap kumpulan ikan Loma yang berhijrah naik ke Sungai Rui semasa musim bertelur


Selain daripada itu, kawalan terhadap kawasan dan masa juga perlu dipertingkatkan. Kawasan bertelur ikan Loma sepatutnya tidak dikacau dan ikan Loma tidak boleh ditangkap semasa musim bertelur. Penutupan ruang bertelur akan memastikan anak ikan berjaya hidup dan bermandiri. Penutupan masa pula boleh dilaksanakan secara bergilir di kawasan yang terpilih

Langkah pengurusan seterusnya perlulah mengambil kira kawalan terhadap saiz ikan Loma yang ditangkap. Hanya ikan dewasa yang telah mencapai ukuran tuaian sahaja boleh ditangkap. Kawalan tuai boleh dilaksanakan sebagai langkah pengurusan berdasarkan perubahan dalam penunjuk stok populasi ikan sama ada semakin berkurangan, bertambah, atau kekal. Dengan itu, pengeluaran ikan Loma boleh dimaksimumkan dan mengekalkan kelestarian perikanan. Nelayan dan penduduk setempat juga boleh menikmati pekasam ikan Loma sehingga ke generasi seterusnya.

Pihak pengurusan perikanan juga perlu menghadkan jumlah tangkapan supaya populasi ikan tidak berkurang dan mampu bertahan untuk musim seterusnya sebagai salah satu daripada langkah pengurusan perikanan di Sungai Perak.

Nelayan tempatan dan penduduk setempat menyedari tentang kemungkinan kepupusan ikan Loma sekiranya ianya tidak dibendung. Oleh itu, nelayan tempatan dan penduduk setempat perlu melaksanakan kempen kesedaran kepada orang awam untuk menjaga kelestarian populasi ini sebagai usaha bersama. Ini adalah kerana ikan Loma ini juga ditangkap oleh awam terutamanya semasa musim bertelur apabila ikan ini berhijrah naik ke Sungai Rui.

Kesimpulan
Ikan Loma memang sedap dimakan sebagai pekasam, namun kita perlu juga menjaga populasi ini supaya tidak pupus. Sekiranya kita memilih pekasam ikan Loma diteruskan, maka kira juga perlu memastikan populasi ini terpelihara. Hal ini kerana kedua-duanya adalah penting bagi kelangsungan hidup penduduk setempat dan kemandirian ikan Loma. Oleh itu, pemeliharaan habitat, kualiti air dan kesihatan ikan loma perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Musim bertelur amat penting untuk ikan ini meneruskan generasi seterusnya. Pengurusan berkesan perlu mempunyai matlamat yang jelas dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak berkepentingan. Akhir sekali, pilihan di tangan kita, pekasam atau pemeliharaan atau kedua-duanya?

Rujukan
Alya Ilyani, A. M., Rohasliney, H., & Zarul, H. H. (2022). The reproductive aspect of tiny scale barb, Thynnichthys thynnoides (Bleeker, 1852) at Rui River, Perak, Malaysia. Malaysian Applied Biology, 51(2), 95-105.

Radhi, M. A., Rohasliney, H., & Amal, M. N. (2019). Evaluating the surrounding physical habitat for Thynnichthys thynnoides’s spawning areas using a visual-based habitat assessment at Rui River, Perak. Journal Science and Technology, 27(2), 703-714.

Radhi, M. A., Rohasliney, H., Amal, M. N., & Zarul, H. H. (2020). The migratory pattern and condition of tiny scale barb, Thynnichthys thynnoides (Bleeker, 1852) at Rui River, Perak, Malaysia. Thai Journal of Agricultural Science, 53(1), 19-31.

Vidthayanon, C. (2012). Thynnicthys thynnoides. The IUCN Red List of Threatened Species. Version 2014.3. Retrieved January 19, 2014, from IUCN Red List: http://www.iucnredlist.org/details/188079/0

Date of Input: 31/10/2022 | Updated: 07/12/2022 | masridien

MEDIA SHARING

FACULTY OF FORESTRY AND ENVIRONMENT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXEULAa~