Ancaman Kemusnahan Habitat Kepada Hidupan Liar Dan Strategi Pemeliharaan | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» ARTIKEL » Ancaman kemusnahan habitat kepada hidupan liar dan strategi pemeliharaan

Ancaman kemusnahan habitat kepada hidupan liar dan strategi pemeliharaan

Pengenalan
Dunia ini merangkumi pelbagai spesies hidupan liar sama ada spesies tumbuhan maupun haiwan. Setiap spesies bergantung kepada ekosistem atau sistem semulajadi untuk hidup dan bemandiri. Hidupan liar ini berinteraksi dengan elemen bukan hidup seperti cahaya, suhu, tanah, nutrien, air dan lain-lain supaya dapat membiak dan menghasilkan anak-anak yang bermandiri. Namun, terdapat kajian saintifik telah membuktikan bahawa hidupan liar ini semakin hari semakin berkurangan dan ada yang telah pupus. Kadar kepupusan spesies hidupan liar ini semakin meningkat sejajar dengan kemusnahan habitat sedia ada. International Union for Conservation of Nature (IUCN Red List) mengklasifikasikan haiwan dan tumbuhan ini kepada beberapa status konservasi seperti Terdedah kepada ancaman (Vulnerable, VU), Hampir Terancam (Near Threatened, NT), Terancam secara kritikal (Critically Endangered, CE), Terancam (Endangered, EN), Konservasi bersandar (Conservation Dependent, CD), Pupus (Extint, E) dan Kurang dibimbangi (Least Concern, LC). Pembahagian ini adalah penting bagi memastikan status haiwan dan tumbuhan sedang mengalami kepupusan atau pun tidak. Pada ketika ini lebih daripada 28,000 species sedang diancam kepupusan (IUCN, 2019a)

Perkaitan antara kemusnahan habitat dan kepupusan spesies
Kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan membawa maksud penyisihan sesuatu spesies daripada habitatnya. Ini merupakan satu proses normal di alam semulajadi. Spesies haiwan atau tumbuhan yang mati, akan diganti dengan spesies lain bagi melengkapkan keseimbangan ekosistem tersebut. Dalam keadaan semualajadi, kepupusan sesuatu spesies akan terjadi dalam masa selang sedekad. Namun, di zaman sekarang, kadar kepupusan meningkat dengan cepat. Kepupusan haiwan dan tumbuhan di dunia adalah disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah daripada aktiviti manusia. Pakar biologis iaitu Edward O. Wilson menyatakan bahawa kepupusan hidupan liar adalah hasil daripada kemusnahan habitat, spesies invasif, pencemaran, pertambahan populasi manusia, perubahan iklim dan penuaian hasil sumber asli secara melampau. Kesemua ini adalah akibat daripada aktiviti manusia dan inya dikenali sebagai HIPPCO (habitat destruction, invasive species, pollution, population, climate change overharvesting) (Botkin & Keller, 2014). Walau bagaimanapun, kehilangan spesies agak sukar diramal dengan tepat kerana masih banyak spesies yang belum dikenalpasti.

Kemusnahan habitat merupakan ancaman yang paling utama yang menyebabkan kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan. Habitat bermaksud kawasan haiwan dan tumbuh-tumbuhan hidup secara semula jadi (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2019) dalam sesuatu ekosistem. Mengikut istilah sains, habitat adalah kawasan di mana haiwan dan tumbuhan tinggal, dan berinteraksi dengan keadaan persekitaran (Molles Jr., 2008). Dunia mempunyai sebanyak 30.7% hutan secara keseluruhannya pada tahun 2020 manakala Asia mempunyai sebanyak 15.4% kawasan hutan ( (UN Food and Agriculture Organization, 2021) (Gambarajah 1). Berdasarkan daripada maklumat UN Food and Agriculture (FAO), Malaysia mempunyai kawasan hutan sebanyak 0.47 % pada tahun 2020. Namun, penerokaan hutan dan pembajakan kawasan padang rumput dapat dilihat di mana-mana di dunia. Antara spesies terancam akibat penerokaan hutan adalah burung pemangsa seperti helang dan burung hantu. Burung helang memerlukan kawasan hutan yang luas dan tidak terjejas untuk mencari makanan dan membiak. IUCN (2019a) mendapati sebanyak 18% burung pemangsa mengalami ancaman kepupusan di Asia Tenggara dan sebanyak 52% burung pemangsa di seluruh dunia mengalami pengurangan bilangannya. Antara contoh lain adalah burung hantu (Strix occidentalis caurina) yang tinggal di dalam hutan di Amerika Utara. Burung ini memburu tupai, tikus dan sekali sekala serangga hutan untuk makanan. Burung hantu ini telah diisytiharkan sebagai spesies terancam kerana 90% daripada kawasan hutan dibuka dan untuk tujuan pembalakan. Sehingga tahun 2004, saintis di Amerika Utara hanya menemui sebanyak 1,044 pasangan burung hantu sahaja (Cunningham & Cunningham, 2015).

Gambar rajah 1. Kawasan hutan dunia (dalam peratusan) pada tahun 2020. Sumber: UN Food and Agriculture Organization (FAO). Forest Resources Assessment 2020

Pengekstrakan sumber asli seperti perlombongan, pembinaan empangan dan perikanan yang melampau juga boleh memusnahkan habitat. Perlombongan permukaan bumi menyebabkan penggondolan segala tumbuhan di permukaan bumi. Semasa perlombongan dijalankan sisa bahan kimia perlombongan akan mengalir ke dalam sungai tanpa dirawat akan menyebabkan degradasi ekosistem sungai. Pembinaan empangan pula menyebabkan semua habitat termasuk sungai dan hutan tenggelam ke dasar seterusnya menghapuskan sumber makanan dan kawasan pembiakan bagi sesetengah spesies akuatik. Manakala, penggunaan alat penangkapan ikan seperti pukat tunda akan menjejaskan habitat di dasar laut. IUCN (2019b) melaporkan bahawa dua ekor ikan pari telah berada di ambang kepupusan akibat daripada ekploitasi perikanan yang melampau. Contohnya, populasi False Shark Ray (Rhynchorhina mauritaniensis) di Mauritiana mengalami penurunan sebanyak 80% sejak 45 tahun dulu dan pihak saintis menjangkakan populasi ini bakal mengalami kepupusan tidak lama lagi. Manakala ikan pari Guitarfish (rhynchobatus djiddensis) yang hidup di kawasan cetek tepi pantai Lautan India dan Lautan Pasifik barat hingga ke Lautan Atlantik timur dan Laut Mediterranean juga diancam oleh penangkapan ikan tidak terkawal. Ikan pari ini selalu tertangkap bersama-sama dengan tangkapan ikan lain dan daging ikan pari ini dijual di pasar atau untuk makanan domestik. Namun, ada beberapa spesies ikan yang sangat toleran dan mampu untuk beradaptasi dengan perubahan habitat (Gambarajah 2) Selain daripada itu, populasi tujuh spesies primat yang merangkumi 40% spesies di Afirika tengah dan barat kini semakin kurang akibat daripada penyahhutanan untuk tujuan pembangunan (IUCN, 2019b). Antara primat yang menghampiri kepupusan adalah seperti spesies Roloway Monkey (Cercopithecus roloway) dan Red-capped Mangabey (Cercocebus torquatus).

Gambar rajah 2. Ikan yang ditangkap di Sungai Kelantan pada tahun 2012

Perubahan suhu dunia yang semakin ketara dewasa ini memainkan peranan yang penting dalam kemusnahan habitat. Terdapat spesies haiwan dan tumbuhan yang mampu bertahan dengan keadaan suhu sejuk atau panas melampau. Spesies ini mampu berhijrah ke kawasan lain yang bersesuaian dengan kehendak fisologi mereka. Namun, terdapat spesies yang tidak mampu berhijrah dan mempunyai toleransi yang rendah terhadap perubahan iklim akan mula hilang apabila persekitaran menjadi kurang sesuai (terlalu panas atau terlalu sejuk). Antara haiwan yang terkesan dengan perubahan suhu persekitaran adalah Moose (Alces alces) iaitu sejenis rusa yang mempunyai bertanduk seakan ranting dan hidup di kawasan hutan di Amerika Utara. Populasi Moose menurun pada tahun 2012 kerana semasa musim panas, populasi kutu meningkat dan menjadikan Moose sebagai mangsa. Dunia juga telah melihat kesan perubahan suhu dunia ke atas beruang kutub (Ursus maritimus). Populasi beruang kutub juga semakin berkurangan akibat pengurangan ais di kawasan kutub utara. Hal ini kerana kekurangan anjing laut untuk diburu. Banyak beruang ini mati lemas kerana ingin menyeberang antara bongkah ais semata-mata untuk memburu makanan. Selain daripada itu, populasi pokok Alpine juga akan kehilangan habitat sekiranya suhu dunia semakin panas. Tumbuhan ini memerlukan kawasan tinggi yang sejuk untuk hidup.

Kepelbagaian biologi di Malaysia
Malaysia dikatakan antara 17 negara yang terkaya dengan kepelbagaian biologi. Kepelbagaian biologi ini bermaksud kepelbagaian dari segi genetik, organisma, spesies dan juga ekosistem. Interaksi antara spesies terutamanya perhubungan jaringan makanan menghasilkan khidmat semulajadi yang amat penting bagi kelangsungan bumi ini. Malaysia mempunyai pelbagai ekosistem termasuk sungai, tasik, hutan paya gambut, hutan paya bakau, hutan hujan tropika dan muara. Ekosistem ini mampu untuk menampung kepelbagaian hidupan haiwan dan tumbuhan sama ada sebagai kawasan asuhan bagi juvinil, kawasan pembiakan, dan kawasan perlindungan daripada pemangsa atau dehidrasi. Kepelbagaian spesies hidupan liar di Malaysia dianggarkan terdapat 12,500 spesies tumbuhan, 306 spesies mamalia, 742 spesies burung dan 547 spesies reptilia termasuk sebilangan besar yang bersifat endemik (Perhilitan, 2019). Manakala, terumbu karang di timur Senenanjung Malaysia dikatakan sebagai lokasi paling kaya dengan 318 spesies kerangan. Ekosistem pantai dan marin pula dapat menyokong pelbagai spesies plankton dan sebanyak 53 spesies fitoplankton berjaya direkod oleh saintis Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1973. Sebanyak 2,000 hingga 2,600 spesies ikan daripada 4, 000 spesies ikan marin di dunia pula disenaraikan di perairan pantai Malaysia termasuk ikan komersil seperti tuna (Euthynnus) dan mackerel (Megalespis) (Zulfigar & Tan, 2004). Ini menunjukkan ekosistem pantai dan muara di Malaysia amnya mampu menyediakan kawasan asuhan untuk ikan-ikan komersil ini. Sungai Galas, Kelantan didapati mempunyai sebanyak 32 spesies ikan (2008 – 2010), Sungai Kelantan pula mempunyai 22 spesies ikan (2010 – 2012) manakalan Sungai Pengkalan Chepa mempunyai sebanyak 21 spesies (2008 – 2009) (Rohasliney, Mohd Rezza, Wan Mohd Amzar, Amirah, & Amir Shah Ruddin, 2015) (Gambarajah 3).

Gambar rajah 3. Kajian pemantauan spesies ikan di Sungai Kelantan (2008 hingga 2012) diketuai oleh Dr Rohasliney Hashim.

Ekosistem tanah basah semulajadi terbesar boleh didapati di Sarawak (2.7 juta ha). Di Semenanjung Malaysia, tanah basah boleh dilihat di Johor, Pahang, Selangor dan Perak. Ekosistem tanah basah yang telah dikenalpasti sebagai kawasan konservasi hidupan liar adalah Hutan Paya Gambut Selangor Utara, Hutan Simpan Kapar, Hutan Paya Bakau Lawas, Hutan Paya Bakau Sarawak, Hutan Paya Bakau Malundam dan banyak lagi. Manakala ekosistem tanah basah buatan seperti kawasan empangan terdapat di Perak (Empangan Cenderoh, Empangan Bersia, Empangan Temenggor), Kelantan (Empangan Pergau), Perlis (Empangan Timah Tasoh), Terengganu (Empangan Kenyir) dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia. Kesemua ekosistem ini perlu dipelihara bagi memastikan habitat yang terkandung di dalamnya mampu untuk menyokong pertumbuhan spesies hidupan liar. Namun, sejajar dengan pertumbuhan populasi manusia, kemusnahan habitat di Malaysia juga dapat dirasai oleh spesies hidupan liar di Malaysia. Sehingga kini, antara kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan telah berjaya direkod seperti di dalam Jadual 1:
Jadual 1. Klasifikasi status konservasi hidupan liar di Malaysia

Selain daripada itu, beberapa spesies haiwan liar yang kini dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya sama ada di hutan simpan kekal atau taman negara di Malaysia iaitu banteng, badak Jawa, burung merak hijau, burung upeh, gajah Pygmy Borneo dan kucing batu. Manakala, beruang matahari, kambing gurun, seladang, burung kuang, tikus hitam juga dikatakan di ambang kepupusan dan sukar ditemui di habitat semula jadi di hutan. Mengikut Bank Data Dunia (2019), sebanyak 87 spesies ikan di Malaysia juga diancam kepupusan.

Strategi pemeliharaan haiwan dan tumbuhan liar di Malaysia
Tanpa pengurusan yang baik oleh pihak berkepentingan seperti daripada agensi kerajaan, hidupan liar di Malaysia akan terus diancam kepupusan. Malaysia yang berada di dalam senarai salah satu megadiversiti dunia, seharusnya melaksanakan langkah dan strategi untuk mencegah kepupusan spesies. Antara strategi yang boleh dilaksanakan ialah pemeliharaan alam sekitar. Pemeliharaan alam sekitar bermaksud memelihara habitat yang masih tidak terganggu daripada aktiviti manusia. Ekosistem daratan seperti Hutan Hujan Tropika, ekosistem air tawar (tasik, sungai, Tanah basah), ekosistem air payau (hutan paya bakau, rawang) dan ekosistem air masin (kawasan pantai, laut, dan terumbu karang) seharusnya dilindungi daripada ancaman sebarang aktiviti manusia seperti yang dinyatakan dalam konsep HIPPCO. Namun masalah pemusnahan, degradasi, dan fragmentasi habitat tetap akan berlaku sejajar dengan pertumbuhan populasi manusia. Maka, habitat dalam ekosistem yang tersenarai di atas perlu dikenalpasti dan sebahagiannya diwartakan sebagai hutan simpan atau kawasan bebas daripada aktiviti manusia. Sebagai contoh, Sarawak telah mewartakan sebanyak enam juta hektar hutan sebagai Hutan Simpan Kekal bagi tujuan amalan pengurusan Hutan Mampan dan satu juta hektar diwartakan sebagai Kawasan Lindungan Sepenuhnya (Ahmad Ashrin, Affendi, Ariffin, & Wan Razali, 2012). Sehingga 2013, dianggarkan negeri Selangor mempunyai hutan seluas 250,860 hektar, iaitu kira-kira 30.6% daripada keluasan negeri ini. Daripada jumlah tersebut, seluas 250,129 hektar (30%) diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) yang diuruskan di bawah prinsip pengurusan hutan secara berkekalan untuk kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Selangor mempunyai 70 HSK termasuk ladang hutan, salah satunya ialah hutan paya gambut yang merangkumi seluas 82,890.38 hektar (33.14%) daripada keseluruhan HSK. Hutan Paya Gambut Selangor Utara berkeluasan 73,593.03 hektar merangkumi dua HSK iaitu Hutan Simpan Raja Musa (23,486.43 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Karang (50,106.60 hektar) (Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, 2013).

Hasil daripada ekspedisi biodiversiti dan saintifik tanah gambut yang dianjurkan pada tahun 2013 di Hutan Simpan Paya Gambut Selangor Utara, terdapat 41 spesies daripada 13 famili ikan air tawar telah berjaya dikenalpasti (Ismail, et al., 2013). Manakala Sule, Ismail, & Amal (2016) melaporkan terdapat 12 spesies ikan air tawar yang mengalami ancaman kepupusan antaranya ialah Encheloclarias prolatus, B. brownorum, S. goblinus, S.margarition, B. ibanorum, B. burdigala, E. tapeinopterus, Paedocypris progenetica, P. allani and H. ornatus. Spesies ini dilaporkan akan mengalami kepupusan pada tahun 2050 sekiranya hutan paya gambut mengalami degradasi melampau tanpa kawalan (Sule, Ismail, & Amal, 2016). Hutan Paya Gambut Selangor Utara juga dihuni oleh spesies haiwan terancam seperti beruang matahari (Helarctos malayanus), louded leopard (Neofelis nebulosa), tapir (Tapirus indicus), false gharial (Tomistoma schlegelii) (Ahmad, et al., 2015). Sebanyak 173 spesies burung ditemui di hutan paya gambut ini (Posa, Wijedasa, & Corlett, 2011).

Pada tahun 2020, satu kajian pemantauan kesihatan Hutan Paya Gambut Sungai Karang, Tanjung Karang, Selangor dengan menggunakan ikan sebagai penunjuk biologi telah dilaksanakan oleh pelajar tahun akhir Bacelor Pengurusan Alam Sekitar (Gambarajah 4). Kajian ini diketuai oleh Dr Rohasliney Hashim. Hasil pemantauan tersebut, kesihatan Hutan Paya Gambut tersebut didapati berada dalam keadaan baik. Sebanyak 423 ekor ikan berjaya ditangkap yang merangkumi 13 spesies daripada 6 famili sepanjang sebulan persampelan pada bulan September 2020. Pristolepis fasciata (Patong) daripada famili Pristolepididae didapati mendominasi sampel sebanyak 13.9% di sepanjang kajian dilaksanakan berbanding spesies lain.

Gambar rajah 4. Kajian pemantauan ikan di Hutan Paya Gambut Sungai Karang, Selangor.

Selain itu, pendekatan lain adalah mengenalpasti kawasan sensitif biodiversiti iaitu kawasan yang mempunyai kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan yang tidak boleh dijumpai di mana-mana kawasan lain. Kawasan ini dijadikan kawasan perlindungan bagi haiwan dan tumbuhan yang mudah diancam kepupusan. Di Amerika Syarikat (AS), burung Pelican coklat telah disenaraikan sebagai haiwan terancam pada tahun 1903 sehinggalah kerajaan AS mewartakan kawasan perlindungan hidupan liar di Pulau Pelican. Hasilnya, burung Pelican coklat ini telah dikeluarkan daripada senarai species terancam pada tahun 2009. Saintis telah mengenalpasti sebanyak 34 kawasan sensitif biodiversiti di seluruh dunia termasuklah Malaysia (Myers & Spoolman, 2014). Untuk melayakkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan sensitif, kawasan ini perlu memenuhi dua kriteria seperti yang dinyatakan di bawah:

• Kawasan sensitif tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya 1,500 tumbuhan vaskular endemik yang tidak boleh ditemui di mana-mana kawasan lain dan tidak boleh diganti.
• Kawasan tersebut mesti mempunyai 30% atau kurang tumbuhan semulajadi dan ada di antaranya tersenarai dalam status terancam.

Maka, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGOs) serta pihak swasta berganding bahu untuk memastikan kawasan ini sentiasa dilindungi. Senarai kawasan perlindungan di bawah pengurusan Jabatan Perhilitan adalah antaranya Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang, Rezab Hidupan Liar Sungkai, Perak. Rezab Hidupan Liar Chior, Perak, Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor, Rezab Hidupan Liar Bukit Kutu, Selangor, Rezab Hidupan Liar Bukit Nanas, Kuala Lumpur, Rezab Hidupan Liar Tanjung Tuan, Melaka, dan Rezab Hidupan Liar Pulau Tioman. Namun, terdapat juga kawasan perlindungan yang terdapat di Semenanjung Malaysia diuruskan oleh pengurusan yang berbeza, dikawal oleh undang-undang yang berbeza juga dengan pelbagai kategori kawasan perlindungan, status, prosedur pewartaan dan penwartaan keluar. Sekiranya pihak ini berkerjasama dan saling berkomunikasi, kawalan terhadap kepupusan hidupan liar dapat ditingkatkan dan tadbir urus yang bersepadu serta berkesan dapat membantu pengurusan pembangunan yang lebih mampan seterusnya dapat mengawal kemerosotan biodiversiti. Selain pdaripada itu, Pemantauan terhadap habitat terumbu karang juga perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kesihatan eskosistem terumbu karang berada di tahap yang terbaik (Gambarajah 5)

Gambar rajah 5. Kajian kudrat untuk melihat tahap populasi terumbu karang

Polisi dan undang-undang juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan habitat dalam kesemua ekosistem terpelihara. Antara akta yang telah dilaksanakan di Malaysia adalah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Akta Perikanan 1985, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta Taman Negara 1980, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan Akta Perhutanan Negara 1984. Kerajaan perlulah memperkukuhkan lagi peruntukan undang-undang sedia ada. Selain daripada itu, pelan pengurusan strategik bagi setiap hidupan liar juga perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi melihat semula undang-undang dan enakmen yang lemah. Pelan pengurusan strategi yang melibatkan komuniti sangat dialu-alukan bagi menyedarkan orang awam tentang udang-undang yang berkaitan hidupan liar . Pemeliharan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi wajib diambil perhatian dalam setiap pembentukan Rancangan Malaysia (RMK) seperti yang terdapat dalam Rancangan Malaysia ke-Tiga (RMK-3) dan RMK-10.

Kewujudan taman botani dan arboretum sebanyak 1,600 buah di seluruh dunia amatlah penting dalam memelihara spesies tumbuhan. Kini, hampir satu pertiga spesies tumbuhan dipelihara di taman botani dan arboretum di seluruh dunia. Taman botani mengandungi pelbagai tumbuhan seperti pokok bunga, sayuran dan tumbuhan vaskular. Manakala, arboretum bermaksud kawasan yg ditanami dgn spesies pokok tertentu untuk tujuan pemuli¬haraan sumber genetik, pendidikan, dan pe¬nye¬lidikan. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mempunyai tujuh arboretum dan satu taman botani. Arboretum yang tertua iaitu Arboretum Dipterokarpa dan Arboretum Bukan Dipterokarpa telah ditubuhkan pada 1929 yang terdiri daripada koleksi pokok Dipterocarpaceae dan juga Bukan Dipterocarpaceae. Taman Etnobotani Malaysia pula mempunyai 77 spesies yang digunakan untuk masakan dan amalan budaya. Sehingga kini, mempunyai sekurang-kurangnya 354 spesies tumbuhan yang terdiri daripada 149 genera dan 48 keluarga boleh didapati di taman botani dan arboretum Malaysia. Manakala Taman Alam seperti Taman Alam Kuala Selangor diwujudkan bagi tujuan ekopelangcongan dan menjadi pusat penyelidikan spesies haiwan seperti kelawar, kupu-kupu, burung dan lain-lain berkaitan alam sekitar. Taman Alam ini di bawah pengurusan Persatuan Pencinta Alam Malaysia merangkumi Hutan Hujan Tropika dan Hutan Paya Bakau.

Zoo dan akuarium juga mempunyai fungsi yang sama seperti taman botani dan arboretum tetapi digunakan untuk spesies haiwan. Selain daripada itu, taman hidupan liar dan pusat penyelidikan haiwan juga digunakan sebagai kawasan untuk memelihara spesies haiwan terancam. Haiwan ini kemudiannya dilepaskan ke habitat asal di rezab hidupan liar bagi melindungi mereka daripada pemburuan haram dan lain-lain aktiviti manusia. Terdapat sesetengah spesies haiwan yang terancam seperti Tapir Malaya (Tapirus indicus) dibiak secara ex-situ di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor. Program rawatan, rehabilitasi dan pembiakan yang komprehensif terhadap tapir ini dilaksanakan bagi memastikan bilangan individu tapir yang diselamatkan meningkat setiap tahun.

Selain kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta, orang ramai juga perlu memainkan peranan penting dalam memelihara dan melindungi spesies hidupan liar. Orang awam seharusnya tidak membeli sebarang hiasan yang diperbuat daripada hidupan liar seperti kot bulu haiwan terancam seperti bulu harimau, barang hiasan daripada terumbu karang, tidak membeli perabut yang diperbuat daripada kayu balak yang telah tua, tidak mengambil haiwan liar sebagai haiwan peliharaan seperti beruang atau ikan luar negara dan mengambil atau menjual telur penyu. Orang awam perlu mendapat maklumat yang secukupnya tentang kepupusan hidupan liar dan peka dengan aktiviti manusia yang boleh memusnahkan habitat spesies ini. Selain daripada itu, kemasukan spesies asing juga perlu dipantau secara ketat bagi mengelakkan daripada ikan asing ini mengancam habitat alam sekitar (Gambarajah 6). Orang awam tidak boleh sewenang-wenangnya membawa masuk ikan asing terutamanya ikan hiasan tanpa memahami bagaimana ikan asing ini mampu memusnahkan habitat alam sekitar di negara kita.

Gambar rajah 6. Ikan Mayan Cichlid merupakan spesies ikan asing yang dibawa masuk ke Malaysia

Strategi lain bagi mengelakkan kepupusan spesies hidupan liar adalah:
• menghasilkan kaedah ekologikal untuk meningkatkan pengeluaran pertanian tanpa meningkatkan penggunaan jumlah tanah.
• memelihara koridor habitat bagi mengurangkan kerosakan akibat fragmentasi habitat hasil daripada kawasan pembangunan.
• mengurus tanah secara mampan dan berkesan
• memantau secara berterusan kesihatan ekosistem
• mengurangkan pertumbuhan populasi manusia
• memperbanyakkan lagi kempen kesedaran tentang bahaya kepupusan hidupan liar kepada orang awam dan kanak-kanak sekolah

Secara kesimpulan, pemeliharaan kepelbagaian biologi merupakan tanggungjawab semua. Kepupusan spesies hidupan liar adalah hasil daripada aktiviti manusia. Kepupusan dengan kadar 1% setahun mungkin tidak memberi impak yang besar kepada manusia tetapi ia memberi kesan yang sangat negatif kepada keseimbangan ekosistem. Keadaan ini juga akan memberi kesan juga terhadap servis ekosistem seperti pembersihan air dan udara secara semulajadi, kawalan serangga perosak dan pendebungaan. Tumpuan utama pemeliharaan dan pemuliharaan perlu diberikan kepada haiwan dan tumbuhan yang terdedah kepada ancaman kepupusan. Kerajaan dan masyarakat perlu meningkatkan kerjasama bagi mengurangkan risiko berlakunya masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia supaya ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Rujukan

Ahmad Ashrin, M. B., Affendi, S., Ariffin, A. Z., & Wan Razali, W. M. (2012). Planning state wide forest inventory of Sarawak with emphasis on appropriate samping design. Proceedings of the 16th Malaysian Forestry Conference. Forest for Community Livelihood (p. 93). Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Ahmad, I., Amal, M. A., Abdullah, T., Johari , S., Azizul, A., & Sule, H. A. (2015). Fish Diversity of North Selangor Peat Swamp Forest, Selangor, Malaysia. Seminar Ekologi Malaysia 2015 (pp. 115-118). Putrajaya International Convention Centre (PICC),: Persatuan Sains Biologi.

Botkin, D. B., & Keller, E. A. (2014). Environmental Science: Earth as a living planet (9 ed.). Hoboken: John Wiley & Sons, Inc.

Cunningham, W. P., & Cunningham, M. (2015). Environmental Science. A Global Concern. (13 ed.). New York: McGraw-Hill Education.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2019). Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Retrieved July 22, 2019, from Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia: http://prpm.dbp.gov.my/

Ismail, A., Amal, M. N., Abdullah, T., Johari, S., Azizul, A., Nur-illiani, H., & Amiruddin, M. H. (2013). Fish Diversity in North Selangor Peat Swamp Forest. Proceedings of the Seminar on Scientific Biodiversity Expedition, North Selangor Peat Swamp Forest (pp. 57-71). Quality Hotel, Shah Alam: Universiti Putra Malaysia.

IUCN. (2019a). Amazing species. Retrieved July 22, 2019, from The IUCN Red List of Threatened Species: https://www.iucnredlist.org/

IUCN. (2019b). Unsustainable fishing and hunting for bushmeat driving iconic species to extinction – IUCN Red List. Retrieved July 23, 2019, from IUCN: https://www.iucn.org/news/species/201907/unsustainable-fishing-and-hunting-bushmeat-driving-iconic-species-extinction-iucn-red-list
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. (2013). Laporan Tahunan 2013. Shah Alam: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Molles Jr., M. C. (2008). Ecology: Concepts & applications (4 ed.). New York: McGraw Hill.
Myers, N., & Spoolman, S. E. (2014). Environmental issues and solutions. A modular approach (International ed.). Pacific Grove: Brooks/Cole Cengage Learning.

Perhilitan. (2019). Kawasan Perlindungan. Retrieved July 26, 2019, from Laman Web Rasmi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN): http://www.wildlife.gov.my/index.php/2016-04-11-03-50-17/2016-04-25-02-12-43/kawasan-perlindungan

Posa, M. C., Wijedasa, L. S., & Corlett, R. T. (2011). Biodiversity and Conservation of Tropical Peat Swamp Forests. Bioscience, 61(1), 49-57.

Rohasliney, H., Mohd Rezza, P. A., Wan Mohd Amzar, M. Z., Amirah, J., & Amir Shah Ruddin, M. S. (2015). Fish Distribtuin and Composition of Kelantan River Systems, Kelantan, Malaysia. Applied Mechanics and Materials, 747(2015), 294-297.

Sule, H. A., Ismail, A., & Amal, M. A. (2016). A Review of the ichthyfauna of Malaysian Peat Swamp Forest. Tropical Agriculture Science, 30(4), 421-458.

World Data Bank. (2019). Fish species, threatened. Retrieved July 26, 2019, from The World Bank. Data: https://data.worldbank.org/indicator/EN.FSH.THRD.NO?end=2018&most_recent_value_desc=false&start=2018&view=map

Zulfigar, Y., & Tan, S. H. (2004). Coral reef and coastal studies. In K. J. Ratnam, T. W. Sam, & M. Mashhor (Eds.), Research at Univesiti Sains Malaysia. The natural habitat. Volume 4 (pp. 23-28). USM Minden: Univeristi Sains Malaysia.

Tarikh Input: 28/07/2022 | Kemaskini: 28/07/2022 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXESVAa~