Latar Belakang Fakulti | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» MENGENAI KAMI » Sejarah » Latar Belakang Fakulti

Latar Belakang Fakulti

 

 

Fakulti Perhutanan merupakan salah satu daripada Fakulti asas semasa penubuhan Universiti Putra Malaysia (dulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) dalam tahun 1971. Misi Fakulti adalah menjadi Pusat Pembelajaran dan Pendidikan yang unggul dalam bidang perhutanan tropika, yang menyumbangkan bukan sahaja kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu tetapi juga kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara. Untuk mencapai misi tersebut, Fakulti telah merangka objektif berikut:

i) Melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing untuk memenuhi keperluan tenaga manusia dalam sektor pengurusan hutan, industry perkayuan serta rekreasi  dan eko-pelancongan.

ii) Melahirkan tenaga pakar melalui program pasca siswazah dalam bidang pengurusan hutan, industri perkayuan, serta rekreasi dan eko-pelancongan.

iii) Menghasilkan penemuan penyelidikan yang relevan dan terkehadapan yang penyumbang kepada pengurusan hutan secara mampan, pembangunan industri yang berasaskan sumber hutan, rekreasi dan eko-pelancongan.

iv) Menawarkan perkhidmatan profesional yang berkualiti dan relevan  serta membantu perkembangan dan penyebaran ilmu dalam bidang pengurusan hutan, industri perkayuan serta rekreasi dan eko-pelancongan.

Untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan, Fakulti telah menjalin kerjasama  rapat dengan Fakulti lain di UPM dan juga dengan agensi dan institusi perhutanan dalam Negara dan juga di peringkat antarabangsa. Kerjasama ini dapat mempertingkatkan keupayaan Fakulti menyelia pelajar pada semua pringkat pengajian yang ditawarkan.

Sejak penubuhannya, Fakulti telah berkembang dengan pesat dengan aspek pendidikan dan penyelidikan serta pembangunan sumber. Pada tahun 2011, Fakulti mempunyai 46 orang pegawai akademik yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kursus-kursus yang diperlukan dan disokong oleh  83 orang pegawai bukan akademik bagi mengendalikan pengurusan dan membantu aktiviti pengajaran dan penyelidikan.

 

____________________________________________________________________________________________________________________________

 

Sejarah pembentukan Fakulti Pengajian Alam Sekitar bermula dengan penubuhan Jabatan Sains Alam Sekitar pada Ogos 1976, di bawah Fakulti Sains. Dengan tertubuhnya Jabatan Sains Alam Sekitar ini, Fakulti Sains telah diberi nama baharu, iaitu Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar. Pada ketika itu, Jabatan Sains Alam Sekitar di bawah Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar ini bertanggungjawab untuk menawarkan program ijazah sarjana muda Bacelor Sains Alam Sekitar, yang diperkenalkan pada tahun yang sama jabatan ini terbentuk. Program ijazah ini merupakan program ijazah alam sekitar pertama di Asia Tenggara, dan ianya telah diiktiraf sebagai ijazah profesional oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Namun begitu, pada 1 September 2004, pihak pengurusan UPM telah bersepakat untuk membenarkan Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, untuk bergerak sendiri sebagai satu fakulti baharu, iaitu Fakulti Pengajian Alam Sekitar. Dengan keluarnya Jabatan Sains Alam Sekitar dari Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar telah kembali dinamakan sebagai Fakulti Sains.

Fakulti Pengajian Alam Sekitar merupakan satu-satunya badan akademik di Malaysia yang menawarkan ijazah di peringkat sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah dalam bidang alam sekitar. Tenaga pengajar dan penyelidik di FPAS merupakan pakar dari pelbagai bidang, sesuai dengan tuntutan pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan alam sekitar yang memerlukan kemahiran, kebolehan, dan ilmu pengetahuan dari pelbagai segi. Oleh sebab itu, Fakulti Pengajian Alam Sekitar telah menubuhkan dua buah jabatan untuk pengurusan yang lebih efektif, iaitu Jabatan Sains Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar.

Sebagai sebuah fakulti yang komited dengan pengajian berkaitan alam sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar banyak bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk projek-projek penyelidikan di dalam dan di luar UPM. Antara organisasi-organisasi lain yang bekerjasama dalam projek penyelidikan dengan pihak fakulti ialah Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan Ministry of Environment Japan.

 

 

 ____________________________________________________________________________________________________________________________

 

Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pengajian Alam Sekitar telah bergabung untuk membentuk Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar mulai 1 Mac 2020

 

 

 

 

Kemaskini:: 10/06/2020

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
B1611082921