UPM Temui Potensi Besar LCB Sebagai Sumber Tenaga Dan Produk Mampan Masa Depan | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR forenv
» BERITA » UPM temui potensi besar LCB sebagai sumber tenaga dan produk mampan masa depan

UPM temui potensi besar LCB sebagai sumber tenaga dan produk mampan masa depan

21 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengetengahkan satu penemuan strategik apabila penyelidikan Dato’ Prof. Dr. H’ng Paik San dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) membuktikan biomassa lignoselulosa (LCB) berpotensi besar sebagai sumber tenaga alternatif serta asas kepada produk karbon bernilai tinggi pada masa hadapan.
 
Dalam syarahan inaugural bertajuk 'The Transition of Lignocellulosic Biomass into Carbon Material for Bioproducts and Energy', beliau menjelaskan bahawa LCB yang mengandungi sehingga 65 peratus karbon dan mudah diperoleh daripada tumbuhan kini diiktiraf antara sumber paling maju untuk penghasilan bahan karbon berprestasi tinggi.
 
Beliau turut mengetengahkan inovasi terkini pembangunan bahan anod berasaskan lignoselulosa bagi menggantikan penggunaan arang batu dalam bateri moden termasuk bateri kenderaan elektrik. Usaha ini mampu mewujudkan rantaian bekalan bateri yang lebih hijau serta mampan.
 
Teknologi penukaran seperti pirolisis, gasifikasi dan karbontisasi hidrotermal membuka potensi besar industri karbon masa depan termasuk penghasilan bioproduk, bahan penyimpanan tenaga dan komposit hijau bagi sektor tenaga boleh baharu dan bioekonomi.
 
Sejak tahun 2006, penyelidikan UPM menunjukkan bahawa LCB boleh menjadi pengganti separa bahan api fosil sekali gus menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca. Menurut beliau, cabaran seperti kecekapan teknologi, daya saing kos dan pembangunan rantaian bekalan biomassa mampan perlu terus ditangani.
 
Dato’ Prof. Dr. H’ng menegaskan bahawa transformasi biomassa kepada bahan karbon bukan sekadar inovasi saintifik tetapi langkah penting ke arah masa depan rendah karbon. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, LCB berpotensi menjadi pemacu revolusi tenaga mampan negara.
 
#berilmuberbakti #fhasupm
 

Tarikh Input: 24/11/2025 | Kemaskini: 24/11/2025 | masridien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
X, (03:01:27am-03:06:27am, 16 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]