TUANKU PRO CANSELOR BERKENAN MENGURNIAKAN 18 STAF AKADEMIK UPM ANUGERAH CEMERLANG | FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
» BERITA » TUANKU PRO CANSELOR BERKENAN MENGURNIAKAN 18 STAF AKADEMIK UPM ANUGERAH CEMERLANG

TUANKU PRO CANSELOR BERKENAN MENGURNIAKAN 18 STAF AKADEMIK UPM ANUGERAH CEMERLANG

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari


SERDANG, 28 Julai 2022 – Tuanku Pro Canselor DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan anugerah kepada 18 staf akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dua orang staf bukan akademiknya yang cemerlang dalam perkhidmatan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, perunding cemerlang, perkhidmatan profesional dan pembangunan pelajar untuk universiti dan negara.

Kesemua 20 pemenang menerima anugerah yang dikenali dengan nama Anugerah Fellowship Naib Canselor pada Majlis Gemilang Akademia Putra (MGAP) 2021 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM di sini hari ini.

Anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pengajaran, Kategori Penyelidikan dan Inovasi, Kategori Perkhidmatan Profesional, Kategori Perunding Cemerlang, Kategori Pembangunan Pelajar dan Anugerah Khas Akademia Putra.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM akan terus komited melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran sahsiah yang tinggi termasuk peranan dan libat sama alumni dalam kelangsungan kecemerlangan Universiti.

“UPM akan sentiasa berusaha menjadikan kampus hijau ini sebagai sebuah menara ilmu yang sesuai kepada perubahan dan perkembangan sezaman dengan warganya yang bertekad tinggi dan terus berusaha meneroka pelbagai bidang ilmu terutamanya dalam bidang pertanian.

“Semoga warga UPM dapat meneruskan komitmen jitu dalam menjalankan tanggungjawab dan menggalas amanah selari dengan hala tuju universiti yang berpandukan Pelan Strategik UPM 2021-2025,” katanya.

Pada tahun ini Anugerah Khas Akademia Putra 2021 yang merupakan anugerah tertinggi keseluruhan diberikan kepada Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit @ Sinon dari Fakulti Kejuruteraan.

Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan berkata beliau berasa sangat gembira dan terharu di atas penganugerahan yang diberikan oleh UPM kepadanya kerana sentiasa menyokong serta menghargai pencapaian warga akademiknya.

“Saya berasa amat gembira dan terharu kerana segala usaha saya dihargai oleh UPM tetapi bukan sekali namun banyak kali sejak saya bermula kerja di sini sehingga hari ini. Terima kasih UPM,” katanya.

Bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pengajaran 2021 (AFNC-KP 2021) kategori Pengajar Cemerlang, penerimanya ialah Dr. Ferdius @ Ferdaus Mohamat Yusuff dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (kelompok sains gunaan) dan Prof. Ts. Dr. Zurina Zainal Abidin dari Fakulti Kejuruteraan (kluster kejuruteraan) manakala kategori Pengajar Muda pula dianugerahkan kepada Dr. Nadiya Akmal Baharum dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (kluster sains tulen), Dr. Vivien How dari Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (kluster Sains Kesihatan), Dr. Mohammad Mujaheed Hassan dari Fakulti Ekologi Manusia (kluster Sastera dan Sains Sosial) dan Dr. Evelyn Lim Ai Lin dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (kluster Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan).

Sementara itu, Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Penyelidikan dan Inovasi 2021 (AFNC-KPI) kategori penyelidik cemerlang (kluster Sains dan Teknologi) diberikan kepada Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Prof. Dr. Samsilah Roslan, Fakulti Pengajian Pendidikan (kluster Sains Sosial). Bagi kategori Penyelidik Muda kluster Sains dan Teknologi diberikan kepada Dr. Mohd Hafiz bin Mohd Zaid, Fakulti Sains dan Dr. Cheah Jun Hwa (kluster Sains dan Teknologi). Kategori Penerbitan Makalah Jurnal, kluster Sains dan Teknologi diberikan kepada Prof. ChM. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk diterima oleh Allahyarhamah Dr. Maznah Ismail. Kategori Penerbitan Buku dianugerahkan kepada Prof. Dr. Jusang Bolong dan kategori Seni dan Kreativiti diberikan kepada Dr. Halis Azhan Mohd Hanafiah.

Seterusnya, Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Perunding Cemerlang 2021 (AFNC-KPC) dianugerahkan kepada Prof. Dr. Rusmawati Said manakala Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pembangunan Pelajar 2021 (AFNC-KPPLJ) diberikan kepada Prof. Madya Dr. Amini Amir bin Abdullah yang juga merupakan Pengetua Kolej Canselor.

Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Perkhidmatan Profesional 2021 (AFNC-KPP) Pengurusan & Profesional (Akademik) dianugerahkan kepada Prof. Dr. Rosnah Shamsudin, Rafiuz Zaman Haroun (bukan akademik) dan pelaksana, Amrina Mohamad Amin.

Dalam pada itu, DYTM Tengku Amir Shah turut berkenan melancarkan Pelancaran Sistem HiStaf (Skop JINM) dan Sistem Pengurusan Industri dan Masyarakat (ICMS).

Sistem ini merupakan sebuah sistem yang dibangunkan agar pelaporan dan pengurusan aktiviti Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM) UPM termasuk laporan pensyarah bersama JINM lebih berstruktur, mudah serta mesra pengguna. Usaha ini dilakukan bagi mencapai Matlamat 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.- UPM

Tarikh Input: 29/07/2022 | Kemaskini: 10/08/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+60397697171
+60397693768
SXETUAz~