Program Jejak Saintifik di Hutan Gambut dan Kempen Kemampanan Hutan Gambut, Tanggungjawab Bersama bersempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 telah berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November 2025 bertempat di Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor.
Program ini telah disertai oleh 64 pelajar Tahun Tiga Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar serta 30 pegawai dari Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagi menjayakan kempen ini, Jabatan Alam Sekitar telah menyumbang sebagai penaja utama bagi pelaksanaan program hutan gambut dan aktiviti pembersihan pantai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara. Program ini juga telah mendapatkan penglibatan aktif daripada pihak Tenaga Switchgear anak syarikat Tenaga Nasional sebagai rakan Strategik dan pelbagai pihak seperti pihak Global Enviromental Centre, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Daerah Kuala Langat, Pertubuhan Sahabat Gambut Asli Temuan dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (Pejabat Hutan Daerah Pantai Klang) sebagai rakan kerjasama.
Pelaksanaan program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian dan pemuliharaan hutan gambut, di samping memperkukuh hubungan antara pihak universiti dan komuniti setempat seperti komuniti Kampung Orang Asli Pulau Kempas.
Program turut menjemput tiga orang penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang kelestarian dan pengurusan sumber semula jadi, iaitu Encik Logaraj Ramakreshnan, Pegawai Kanan Program Hutan dan Pesisir, GEC; Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali (FASc), Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM; Puan Debora Belawan, Penolong Pengarah (Ladang Hutan dan Inovasi), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), dan Puan Ijan Khusaida binti Mohd Jan, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Bahagian Kualiti Udara, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) .
Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta dan komuniti mengenai kepentingan peranan hutan gambut dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Sebagai salah satu aktiviti utama, peserta turut melaksanakan penanaman 100 anak pokok pelbagai spesies hutan gambut serta aktiviti pemulihan kawasan hutan. Inisiatif ini turut memberi pendedahan kepada komuniti Orang Asli Temuan tentang amalan pertanian dan penggunaan sumber secara lestari, sejajar dengan usaha mengurangkan penebangan pokok dan pembakaran terbuka yang masih diamalkan dalam kegiatan ekonomi mereka.
Program ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, malah ia juga menyokong agenda Pertanian Untuk Rakyat dan aspirasi True North UPM yang menekankan tanggungjawab sosial universiti dalam memupuk kelestarian dan kesejahteraan komuniti.
Tarikh Input: 05/11/2025 |
Kemaskini: 05/11/2025 | masridien
PERKONGSIAN MEDIA