Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar merupakan wakil UPM dalam geran antarabangsa iaitu Erasmus + Making 4.0 yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah untuk tempoh selama tiga (3) tahun. Ketua Projek yang dilantik di peringkat UPM ialah Profesor Dr. Jegatheswaran Ratnasingam.
PENGENALAN
Projek Konsortium Eropah-Malaysia Making 4.0 yang bertajuk “Meningkatkan Pengetahuan Pendidikan Tinggi Malaysia Ke Arah Industri Kayu dan Perabot 4.0” adalah satu usaha yang bertujuan untuk memanfaatkan program Ijazah Sarjana Antarabangsa yang inovatif bekaitan dengan Industri 4.0 (I-4.0). Dirumus secara khusus untuk profesional, jurutera dan tenaga mahir untuk industri perkayuan dan perabot negara, projek Making 4.0 ini menekankan kepada Kemahiran ICT yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing industri perkayuan dan perabot Malaysia.
Projek ini telah dikelaskan sebagai aktiviti pembangunan kapasiti dalam pengajian tinggi di dalam Program ERASMUS+ dari Kesatuan Eropah. Making 4.0 adalah projek yang dikendalikan oleh Konsortium Eropah-Malaysia yang melibatkan empat (4) institusi di Eropah dan lima (5) institutsi di Malaysia. Lebih daripada 30 orang anggota-angota akademik dan juga staf sokongan yang terlibat untuk membangunkan kurikulum di peringkat tinggi mengenai peredaran kemajuan teknologi yang berkaitan dengan industri 4.0. Sasaran projek ini adalah untuk meningkatkan bilangan pelajar dan peserta-peserta dari industri di Malaysia yang mengambil bahagian. Pihak-pihak yang berminat adalah tidak terhad dan rakan peserta diberi mandat untuk mendorong pengantarabangsaan sesuai dengan panduan “Proses Pelaksanaan Bologna” yang menekankan keterangkuman, ketercapaian dan berdaya saing.
Dari kaca mata sektor kayu dan perabot di Malaysia, yang kini telah menjana pendapatan eksport RM 22 Bilion pada 2019, dan dijangkakan akan meningkat kepada RM 23 Bilion untuk tahun 2020. Projek Making 4.0 berfungsi sebagai pintu masuk ke arah pembangunan negara dan pembangunan tenaga kerja mahir. Ini juga telah mencerminkan keunggulan projek yang dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah sebagai kaedah merealisasikan Industri 4.0 melalui program ijazah yang lebih tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Industri 4.0 Negara.
OBJEKTIF
Rakan-rakan konsortium merangkumi Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM); Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB); Warsaw University of Life Sciences (WULS), Poland; Karlsruhe Institute of Technology (KIT), Germany; Technical University of Cartagena (UPCT), Spain; Technological Centre of Furniture and Wood (CETEM), Spain. Pemimpin konsortium adalah UPCT dan projek ini mempunyai jangka masa tia (3) tahun (2018 - 2021). No. Projek 598783-EPP-1-2018-ES-EPPKA2-CBHE-JP-MAKING 4.0.
Terima kasih.
Tarikh Input: 29/08/2020 | Kemaskini: 29/08/2020 | norazian_nga
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Malaysia